Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo mahu kembali temui sasaran

ronaldo-henrique-silva.jpg
Penyerang import Perak, Ronaldo Henrique Silva, bertekad untuk merobek gawang Selangor menjelang pertemuan Liga Super di Ipoh, malam ini bagi menebus kekecewaannya selepas gagal menjaringkan sebarang gol ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.

Pemain kelahiran Brazil itu disajikan beberapa peluang di Stadium Perak minggu lalu, namun gagal memanfaatkannya.

Kekalahan 0-3 itu meletakkan The Bos Gaurus jatuh ke tangga ketujuh dan semakin jauh untuk mencabar gelaran naib juara Liga Super setelah JDT mengesahkan kejuaraan keenam 26 Jun lalu.

Selepas menjaringkan empat gol daripada lima penampilan liga, tonggak import Perak itu berkeyakinan untuk meningkatkan jumlah itu ketika berdepan Selangor malam ini.

"Saya fikir pasukan kami telah beraksi baik tetapi saya tidak.

"Ia sukar tetapi kami perlu melupakannya dan saya perlu menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya untuk melonjakkan kedudukan pasukan," katanya.

Rekod pertemuan juga masih belum memihak Perak. 

Berdasarkan pertemuan liga terakhir dengan Selangor, Perak melakar satu kemenangan, dua keputusan seri dan tewas sekali.

Kali terakhir Perak menewaskan Selangor ialah pada Mac 2018.

"Saya perlu sentiasa membuktikan kemampuan saya.

"Tidak kira sama ada dalam latihan atau perlawanan, saya perlu membuktikannya kepada keluarga saya dan penyokong Perak.

"Saya mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan tetapi ia bukan mudah.

"Saya telah menjaringkan sembilan gol daripada tujuh perlawanan dan ia amat hebat.

"Saya perlu terus melakukannya kerana masih terdapat perlawanan lain.

"Saya mahu memenanginya dan menjulang piala," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video