SERIE A
Ronaldo direhatkan ketika Juventus bakal julang kejuaraan
Cristiano Ronaldo akan direhatkan ketika Juventus sedang mencongak untuk menjulang kejuaraan Serie A dalam perlawanan menentang SPAL, malam ini.
Bintang penyerang Juve, Ronaldo, menjaringkan gol pembukaan yang membantu Bianconeri mengikat Ajax 1-1 dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin meskipun baru pulih daripada kecederaan paha.
Pemain berusia 34 tahun itu akan direhatkan daripada aksi di Turin, malam ini walaupun Juve hanya memerlukan satu mata daripada pasukan yang sedang bergelut, SPAL, untuk menjulang kejuaraan liga kelapan secara berturut-turut.
Iklan
Moise Kean, yang menjaringkan gol dalam lima penampilan terakhir, berkemungkinan akan mengetuai jentera serangan Juve ketika Ronaldo bukanlah satu-satunya nama besar yang akan direhatkan.
"Untuk meletakkan risiko terhadap Cristiano adalah tidak masuk akal," kata Allegri dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Saya menggemarinya dan ia situasi sama terhadap beberapa pemain lain yang terlalu banyak diturunkan sebelum ini, termasuk dalam skuad kebangsaan mereka dalam waktu rehat antarabangsa.
"Terdapat beberapa pemain yang perlu bermain manakala beberapa lagi boleh duduk di rumah.
"(Leonardo) Bonucci tidak mengalami sebarang masalah, namun akan direhatkan.
"Ia merupakan peluang terbaik buat pemain lain yang akan diturunkan.
"Keraian itu boleh ditunda kerana kami akan berdepan perhitungan penting untuk layak ke separuh akhir, Selasa depan.
"Bagaimanapun, saya akan menyenaraikan barisan pemain yang kuat dan baik menjelang perlawanan itu," katanya.
Kemenangan ataupun keputusan seri ke atas pasukan di tangga ke-16, SPAL, akan meletakkan Juve di kedudukan mata yang tidak akan dapat dikejar Napoli untuk Allegri menjulang kejuaraan Serie A kelima secara berturut-turut dengan Bianconeri.
Walaupun memilih untuk menangguhkan keraian kejayaan itu, bekas pengendali AC Milan berkenaan tetap mengutamakan untuk mengekalkan penguasaan domestik mereka.
"Esok mungkin akan menjadi hari yang luar biasa.
"Ia perlu diraikan kerana memenangi lapan Scudetto (secara berturut-turut) merupakan sesuatu yang luar biasa.
"Bagi saya, memenangi Scudetto akan melengkapkan maruah saya.
"Ia amat penting ketika bekerja buat kelab yang mengharapkan anda memenangi lima kejuaraan liga berturut-turut," tambahnya.
Must-Watch Video