Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo alu-alukan siasatan atur perlawanan

ronaldo.jpg
Legenda Brazil dan pemilik saham terbesar Real Valladolid, Ronaldo, berkata siasatan mengenai pengaturan perlawanan dalam LaLiga merupakan satu langkah positif.

Beberapa tangkapan dilakukan di Sepanyol berhubung siasatan mengenai kumpulan yang didakwa terlibat dengan mengatur perlawanan dan mendapatkan keuntungan melalui pertaruhan.

Beberapa pemain daripada Serie A dan Divisyen Segunda dilaporkan ditahan, termasuk bekas pemain Valladolid, Borja Fernandez, manakala Huesca mengesahkan beberapa pegawai dan pemainnya telah tampil untuk menjadi saksi.

Enam individu dijangka akan dibicarakan esok manakala 15 individu lain akan disiasat seperti yang disahkan badan kehakiman Sepanyol.

Ronaldo, yang memperoleh 51 peratus saham Valladolid pada September lalu, mengalu-alukan siasatan itu dengan berkata kelabnya akan melakukan segala-galanya untuk membantu siasatan.

"Saya berharap Borja sama sekali tidak terlibat," katanya kepada AS.

"Saya berasakan ia bagus apabila ada siasatan seperti ini kerana kita mahukan tiada isu rasuah di sini.

"Saya dari Brazil dan di sana terdapat isu rasuah yang besar.

"Kami menyokong siasatan itu dan akan memberikan kerjasama untuk menyalurkan segala maklumat yang kami ada.

"Kami belum dihubungi sesiapa.

"Saya masih tidak dapat menghubungi Borja atau sesiapa yang terlibat.

"Kami tidak dapat melakukan apa-apa buat masa ini selain menunggu segala-galanya selesai," katanya.

Advertisement

Must Watch Video