Skip to main content

Bola Sepak

Rodri pemain sempurna buat City -- De Bruyne

rodri.jpg
Kevin De Bruyne percaya pemain baru Manchester City, Rodri, sesuai dengan corak permainan Pep Guardiola.

Pemain kebangsaan Sepanyol, Rodri, menjadi pemain termahal City apabila berhijrah ke Stadium Etihad daripada Atletico Madrid dengan yuran perpindahan GBP62.8 juta (RM318 juta) bulan lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu turun dalam aksi kompetitif pertama ketika membantu City mempertahankan Perisai Komuniti dengan kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas Liverpool di Wembley, Ahad lalu.

Guardiola telah lama mencari pengganti Fernandinho untuk mengetuai barisan tengah City selepas usaha untuk mendapatkan Fred, Jorginho dan Frenkie de Jong tidak berhasil.

Tetapi De Bruyne berasakan Rodri telah mula menyesuaikan diri dengan taktikal City dan kini dilihat sebagai perancangan jangka masa panjang buat The Citizens.

"Dia adalah pilihan tepat buat kami dan beberapa pemain yang menyertai pasukan tahun lalu kini memperkuatkan lagi pasukan," katanya. 

"Anda dapat melihat beberapa pemain muda yang mula bermain dengan cara kami."

Di Wembley, Rodri telah melakukan hantaran paling banyak berbanding rakan sepasukan yang lain -- 62 hantaran di samping melakukan sentuhan yang sama dengan Nicolas Otamendi dan Oleksandr Zinchenko (74).

Dia juga memenangi setiap pertembungan di udara ketika berdepan Liverpool dan merampas bola sebanyak sembilan kali sepanjang perlawanan.

"Saya berasakan dia adalah pemain tengah bertahan yang sempurna dengan caranya beraksi," kata De Bruyne lagi.

"Ia adalah posisi yang sukar. Anda memerlukan pemain yang boleh membantu pasukan ketika bertahan serta menyerang."

Bekerjasama dengan baik bersama Rodri, De Bruyne membantu City mempamerkan persembahan berkualiti dengan membantu pasukan mendahului pada minit ke-12 menerusi jaringan Raheem Sterling.

Ia sudah cukup untuk membenarkan pemain kebangsaan Belgium itu diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan dan dia menjelaskan kejayaan itu dipengaruhi oleh persembahan Rodri.

"Saya berasakan cara Rodri beraksi dalam pramusim dan latihan sesuatu yang di luar jangkaan. Menjadi pemain baru dan cepat menyesuaikan diri adalah petanda yang bagus."

Advertisement

Must Watch Video