Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Robertson nafi Liverpool berhak julang Liga Juara-Juara

andrew-robertson.jpg
Andy Robertson menolak tanggapan bahawa Liverpool berhak menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selepas melalui musim yang luar biasa.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan bertemu Tottenham Hotspur dalam aksi final di Madrid, hujung minggu ini, selepas gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Walaupun menghimpunkan 97 mata, Liverpool menamatkan musim di tangga kedua di belakang Manchester City.

Bagaimanapun, Robertson berkata ia tidak bermakna apa-apa menjelang pertembungan final dengan Spurs, yang menamatkan kempen Liga Perdana di tempat keempat.

"Saya ada mendengarnya daripada beberapa orang, namun bagi saya, kami masih belum berhak terhadap apa-apa lagi," kata pertahanan kiri itu kepada Daily Express.

"Kami tidak akan turun ke sana dengan memikirkan yang kami berhak menang kerana kami melalui musim yang baik dan mengumpulkan 97 mata.

"Tidak sama sekali. Ia amat bodoh."

Liverpool akan beraksi dalam final Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut selepas tewas 1-3 kepada Real Madrid tahun lalu.

Robertson, 25, tidak pasti sama ada pengalaman di Kiev itu akan memberikan impak terhadap aksi di Wanda Metropolitano, awal pagi Ahad ini.

"Saya sedar kami sedang berkobar-kobar selepas apa yang berlaku musim lalu dan selepas apa yang berlaku musim ini.

"Kedua-dua pasukan mempunyai pengalaman beraksi dalam perlawanan besar yang akan membantu.

"Namun, saya tidak fikir apa yang terjadi pada musim lalu itu akan memberikan kesan terhadap perlawanan ini.

"Ia perlawanan yang berbeza, lawan yang berbeza dan persediaan yang berbeza.

"Mungkin kami akan mengetahuinya selepas perlawanan bermula dan akan berkata ia ada memberikan perbezaan, namun buat masa ini, saya tidak merasakannya," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video