Skip to main content

Bola Sepak

Real Sociedad rumitkan kemenangan Barca

alba.jpg

BARCELONA 2 REAL SOCIEDAD 1

Ernesto Valverde enggan memberi jaminan bahawa kejayaan Barcelona membenam Real Sociedad 2-1, awal pagi tadi, akan membawa pasukannya semakin dekat dengan gelaran LaLiga.

Gol daripada Clement Lenglet dan Jordi Alba dalam setiap babak serta jaringan penyamaan Juanmi pada minit ke-62 di Camp Nou itu membolehkan Barca mengekalkan kelebihan sembilan mata di depan pencabar utama, Atletico Madrid.

Sekiranya Barca menewaskan Deportivo Alaves, Rabu ini, manakala Atleti jika gagal melakukan hal yang sama ke atas Valencia dalam tempoh 24 jam kemudian, maka barisan bimbingan Valverde itu akan mengekalkan gelaran mereka dengan kelebihan 12 mata sambil berbaki empat perlawanan lagi, termasuk berbekalkan rekod pertemuan. 

Tempat dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan final Copa del Rey bermakna mereka berpeluang mengakhiri kempen kali ini dengan menyapu bersih gelaran utama.

"Kemenangan tidak diserahkan bulat-bulat kepada anda, anda menderita banyak demi kemenangan," kata pengurus Barca, Valverde, kepada wartawan.

"Memenangi perlawanan adalah perkara lebih rumit daripada yang orang fikirkan. Saya faham apabila mereka mengatakan bahawa kami sudah menjadi juara dan kami hanya perlu menunggu tarikh keramatnya tetapi hakikatnya kami masih belum memungut mata yang sepatutnya. 

"Kami perlu merealisasikannya. Ia belum selesai."

Valverde mengakui Sociedad memberikan kerumitan buat pasukannya.

"Ia perlawanan yang tidak selesa kerana mereka sangat bagus dan itu menjadikannya sangat sukar untuk kami apabila kehilangan bola. 

"Nasib baik kami mendapat gol kedua dengan pantas (selepas jaringan penyamaan Sociedad) dan kemudiannya kami dipaksa berhempas-pulas untuk bertahan kerana mereka mengasak dengan begitu hebat."

Advertisement

Must Watch Video