Skip to main content

Bola Sepak

Real perlu bayar RM569 juta untuk Rodrigo

rodrigo-moreno.jpg
Real Madrid telah diberikan amaran oleh pengarah Valencia, Mateu Alemany, bahawa mereka perlu membayar klausa perpindahan Rodrigo Moreno sebanyak EURO120 juta (RM569 juta) jika mahu menandatangani penyerang itu.

Rodrigo telah dikaitkan dengan perpindahan menyertai juara Eropah itu, dengan ketua jurulatih, Julen Lopetegui, berminat untuk kembali bekerjasama dengan pemain tersebut -- kali terakhir melakukannya ketika Lopetegui mengendalikan skuad Sepanyol B-21 tahun.

Alemany mengakui Valencia memiliki peluang tipis untuk menghalang Rodrigo jika Real mampu membayar klausa perpindahan yang ditetapkan tetapi beliau yakin pemain berusia 27 tahun itu akan menolak tawaran Los Blancos.

"Saya tidak berhubung dengan mereka (Real Madrid)," kata Alemany.

"Jika mereka membayar RM569 juta, tiada apa yang mampu kami lakukan tetapi Rodrigo kelihatan gembira di sini.

"Rodrigo amat penting buat Valencia dan saya berharap dia tidak akan berhijrah.

Alemany turut tidak yakin dengan harapan untuk membawa Goncalo Guedes kembali ke Valencia secara tetap.

Valencia telah dikatakan menyimpan jersi nombor 7 buat pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Bagaimanapun, persetujuan di antara dua kelab itu mungkin tidak akan dimeterai apabila gergasi Ligue 1 itu meminta sebanyak EURO50 juta (RM237 juta) untuk membawanya ke Mestalla.

"Keinginannya adalah untuk menjadi pemain yang penting untuk kelab dan penyokong.

"Tetapi harganya terlalu tinggi dan kami perlu mengikut status kewangan yang dimiliki kelab. Kami berusaha untuk tidak membelanjakan terlalu besar untuk seorang pemain."

Advertisement

Must Watch Video