Skip to main content

Bola Sepak

Real pasukan pilihan, bukan City -- Arteta

realmadrid.jpg
Jurulatih skuad utama Manchester City, Mikel Arteta, menolak idea bahawa pasukannya adalah pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, sebaliknya menegaskan penyandang juara, Real Madrid, adalah pasukan yang perlu ditewaskan.

Arteta akan bertindak sebagai pengendali City bagi aksi pembukaan Kumpulan F berdepan Lyon awal pagi esok kerana Pep Guardiola masih lagi digantung perlawanan ketika tewas kepada Liverpool dalam aksi suku akhir kedua, April lalu.

Real memenangi kejohanan ini empat kali dalam tempoh lima tahun lalu dan dijangka menjadi pencabar utama bagi musim 2018-19 walaupun tanpa kehadiran Cristiano Ronaldo.

Perpindahan pemain kebangsaan Portugal itu untuk menyertai Juventus telah meningkatkan kemungkinan City mampu mengatasi Real tetapi cadangan itu telah ditepis Arteta.

"Saya terkejut apabila anda memiliki pasukan yang memenangi kejohanan ini tiga kali berturut-turut," kata Arteta. 

"Tetapi kami telah melakukan perkara yang betul. Ramai yang mengatakan City adalah pilihan bagi saingan musim ini.

"Ia adalah motivasi dan bukan tekanan. Ia adalah cara untuk kami menerimanya dan berharap untuk memperbaiki apa yang telah kami lakukan sejak dua musim lalu.

"Tetapi Real adalah pilihan untuk muncul juara musim ini. Mereka memiliki sesuatu yang istimewa dalam saingan ini dan memiliki pengalaman yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mana-mana pasukan.

"Saingan UCL adalah terbuka, ia telah berlaku musim lalu. Jurang di antara setiap pasukan yang bersaing sangat kecil," ujarnya.

Arteta menolak teori bahawa City telah meningkat naik sebagai pilihan kejohanan kerana wang yang telah dilaburkan kelab bagi membentuk pasukan ini.

"Saya tidak percaya ia adalah sebab mengapa kami berada di tahap ini. Kami beraksi secara konsisten dalam UCL dan ia adalah saingan yang sangat sukar.

"Bagi saya, kami memiliki barisan pemain terbaik dunia dan saya tidak akan menggantikan pemain yang sedia ada dengan yang lain."

Advertisement

Must Watch Video