Skip to main content

Bola Sepak

Real Madrid tetap ampuh tanpa Ronaldo -- Ter Stegen

ronaldo.jpg
Real Madrid akan lebih sukar ditewaskan tanpa kelibat Cristiano Ronaldo, kata penjaga gawang Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.

Ketua pasukan Portugal, Ronaldo, menyertai Juventus bulan ini dalam kesepakatan bernilai €112 juta (RM529.56j) selepas sembilan tahun penuh gemilang di Santiago Bernabeu dengan memenangi empat medal pemenang Liga Juara-Juara (UCL) dan dua gelaran LaLiga.

Pemain berusia 33 tahun itu membina rekod mengejutkan ketika menentang Barca semasa beraksi dalam kancah Sepanyol, termasuk keputuan seri 2-2 di Camp Nou pada Mei lalu untuk melepasi rekod jaringan terbanyak yang dilakar Alfredo Di Stefano dalam pertembungan El Clasico menerusi 18 gol.

Begitupun, Ter Stegen bersikap berhati-hati dalam hal meremehkan kemampuan Madrid pada musim depan setelah seteru itu melepaskan penyerang terbaik sepanjang zaman itu ke Itali.

"Saya fikir mereka memiliki pasukan yang mantap seperti setiap tahun lazimnya, sama seperti kami," katanya. "Ia akan menjadi lebih sukar untuk menentang mereka dengan atau tanpa kehadiran Ronaldo.

"Anda harus memahami bahawa ini adalah pemain yang telah membuat perbezaan dalam banyak perlawanan tetapi kami hanya memberi tumpuan kepada permainan kami. Kami sedar jika kami yakin, kami berpeluang untuk melakukan kesemuanya."

Ter Stegen sedang bersiap untuk mengharungi musim kelimanya sebagai pemain Barca dan dia disebut-sebut akan menggalas peranan selaku pembantu ketua pasukan dan ketika ini, Lionel Messi akan mewarisi lilitan berkenaan daripada Andres Iniesta.

"Ini sesuatu yang akan ditentukan oleh pasukan tetapi ia adalah satu penghormatan buat saya apabila disebut-sebut sebagai calon," kata penjaga gol Jerman itu. 

"Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan untuk menjadi salah seorang kapten. Bagaimanapun, bagi saya, itu bukan perkara yang paling penting, kami memerlukan lebih daripada empat kapten."
 

Advertisement

Must Watch Video