Skip to main content

Bola Sepak

Real Madrid bukan pasukan pilihan -- Zidane

zinedinezidane-cropped_q42yjx8t3krv19v7zq71c969h.jpg
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, menafikan dakwaan bahawa mereka adalah pasukan pilihan menjelang aksi final Liga Juara-Juara Eropah berdepan Juventus.

Gergasi LaLiga itu menempah tiket ke final -- meskipun tewas 2-1 kepada Atletico Madrid awal pagi tadi -- dengan kemenangan agregat 4-2.

Aksi final di Cardiff pada 3 Jun ini akan mempertemukan Zidane dengan bekas kelabnya, Juventus, di mana dia beraksi pada tahun 1996-2001 sebelum berhijah ke Real Madrid.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Perancis itu berkata tidak mungkin Real dilabel pasukan pilihan berdepan juara Serie A itu, yang hanya bolos tiga kali dalam 12 perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.

"Real Madrid bukan pasukan pilihan. Teramat sukar untuk meledak gol berdepan Juve," Zidane memberitahu Mediaset Premium.

"Kekuatan mereka bukan sahaja terletak di bahagian pertahanan, mereka juga memiliki barisan penyerang yang hebat."

Gol daripada Isco tiga minit sebelum memasuki masa rehat -- selepas ketinggalan menerusi gol Saul Niguez dan Antoine Griezmann -- terbukti menjadi gol penting untuk membawa mereka melangkah ke final.

Sementara itu, Zidane turut mengucapkan terima kasih kepada Juve kerana memainkan peranan besar dalam kariernya sebagai pemain.

"Saya menjadi pemain yang lebih baik di Juve. Ia sebuah kelab yang hebat. Menghadapi mereka dalam final akan menjadi saat yang istimewa kerana mereka masih di dalam hati saya," katanya.

"Perlawanan final itu nanti pastinya menakjubkan. Kedua-dua pasukan telah menempuh laluan yang berliku dan kami layak berada di Cardiff.

"Penting untuk kami melakukan persiapan tetapi kami ada perlawanan getir Ahad ini berdepan Sevilla dalam saingan LaLiga."

Advertisement

Must Watch Video