Skip to main content

Bola Sepak

Razman lega FAS selesaikan gaji tertunggak

razman-160517.jpg
Kapten dan tonggak pertahanan Selangor, Razman Roslan, menyambut baik tindakan pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang melunaskan bayaran gaji tertunggak buat kesemua pemain skuad itu musim lalu.

Bagi Razman, pemain kini dapat memberi fokus sepenuhnya untuk menghadapi baki saingan Liga Super selepas isu gaji tertunggak bulan November itu sudah diselesaikan.

Razman turut menghargai usaha pucuk pimpinan FAS, yang kini diterajui Datuk Seri Subahan Kamal, bagi mencari dana selepas tidak lagi mendapat sokongan Kerajaan Selangor.

"Ia sesuatu yang positif, sedikit-sebanyak memberi motivasi kepada pemain yang ada. Oleh itu, saya harap kami dapat menampilkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya.

"Walaupun FAS terpaksa mencari dana sendiri pada musim ini, mereka tetap berusaha. Saya harus mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan FAS kerana banyak memberi semangat kepada pemain," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Selangor, P. Maniam, turut meluahkan nada sama dengan memuji FAS kerana dapat menyelesaikan isu tersebut.

Maniam juga berharap pemain terus memberikan komitmen terbaik dalam meningkatkan kedudukan liga, di mana Selangor kini berada di tangga keempat.

"Gaji pada November (2016) yang tertunggak sudah dijelaskan. Berita ini menggembirakan pemain dan membolehkan mereka lebih fokus kepada permainan. Ini satu petanda yang bagus buat pasukan Selangor," tambah Maniam.

Daripada 12 perlawanan Liga Super musim ini, Selangor menampilkan aksi yang agak memuaskan selepas meraih empat kemenangan, lima seri dan tiga kalah.

Sekalipun mereka menjaringkan 17 gol, skuad The Red Giants perlu mengawal gawang daripada dibolosi kerana sudah melepaskan 14 gol musim ini.

Advertisement

Must Watch Video