Skip to main content

Bola Sepak

Rayuan Messi wakili Argentina dalam kelayakan Piala Dunia berjalan lancar

messi-050517.jpg
Peguam Lionel Messi berkata pasukannya "berasa puas" selepas mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap penggantungan empat perlawanannya bersama Argentina.

Messi telah digantung oleh FIFA selepas mencemuh pengadil dalam kemenangan 1-0 ke atas Chile bulan lepas, sehingga menyebabkan khidmatnya tidak dapat digunakan dalam kekalahan 2-0 di Bolivia dan baki penggantungan tiga perlawanan lagi dalam kelayakan Piala Dunia 2018 yang akan datang.

Argentina berada di tangga kelima dalam zon kelayakan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), di mana mereka perlu mengharungi perlawanan play-off untuk layak ke Russia, apabila memiliki dua mata di depan pasukan di tangga keenam, Ecuador.

Sekiranya hukuman itu kekal buat Argentina -- yang hampir pasti menawarkan jawatan jurulatih kepada bos Sevilla, Jorge Sampaoli, susulan pemecatan Edgardo Bauza -- mereka akan beraksi tanpa Messi untuk perlawanan kelayakan bertemu Uruguay, Venezuela dan Peru dan dia hanya boleh diturunkan dalam perlawanan terakhir ketika menentang Ecuador.

"Kami telah menjalankan tugas dengan sangat baik," kata peguam Messi, Juan de Dios Crespo, ketika memberitahu ESPN FC Radio di Argentina selepas pendengaran kesnya di Zurich itu. 

"FIFA telah meminta kami untuk tidak mengulas banyak mengenai perkara ini. Sebaik sahaja mereka mengumumkan keputusan mereka, saya akan mengulas lagi.

"Ketika ini, mereka perlu meneliti kes itu. Ada kemungkinan pada minggu depan FIFA akan mengumumkan keputusannya.

"Keyakinan kami adalah berdasarkan kepada tugas yang dilakukan. Saya tidak boleh membincangkan kes itu sekarang. 

"Dalam beberapa hari, lagi saya akan dapat memberikan anda semua butirannya. Tetapi, buat masa ini saya tidak boleh memberitahu anda adakah sidang video (Messi dengan Barcelona) dijalankan."

Ditanya sama ada Argentina akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS), De Dios Crespo menjawab: "Mari kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.

"Kami telah meminta penggantungan itu ditarik balik. Kami berharap ia akan digugurkan."
 

Advertisement

Must Watch Video