Skip to main content

Bola Sepak

Ramsey berehat dua minggu

ramsey.jpg
Unai Emery mendedahkan Aaron Ramsey boleh kembali beraksi untuk Arsenal dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi. 

Ramsey terpaksa digantikan dalam babak pertama ketika Arsenal menyingkirkan Napoli untuk menempah tempat ke separuh akhir Liga Europa, semalam.

Pemain tengah itu di ambang perpindahan ke Juventus sejurus kontraknya tamat akhir musim ini, maka timbul kebimbangan bahawa Ramsey mungkin telah bermain untuk kelab itu buat kali terakhir. 

Begitupun, dengan Arsenal terus berjuang untuk merebut tempat dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan, Emery menjelaskan kecederaan hamstring yang melanda Ramsey tidak begitu serius seperti jangkaan awal. 

"Kemajuan yang dipersembahkannya musim ini amat menakjubkan," kata Emery kepada Sky Sports mengenai pemain antarabangsa Wales itu yang mewakili Arsenal sejak 2008.

"Pada mulanya (musim ini), dia agak bercelaru kerana dia berada pada tahun terakhir kontraknya.

"Bagi kami, dia adalah tonggak yang sangat penting tetapi kecelaruan tersebut mungkin tidak membantu kami dalam beberapa detik musim ini -- tidak seperti persembahan yang ditonjolkannya sekarang.

"Dalam beberapa perlawanan terakhir, dia menawarkan sumbangan besar -- termasuk dalam beberapa saat getir musim ini.

"Kecederaannya merupakan satu berita buruk dan saya tidak tahu berapa lamakah dia akan tersisih, mungkin dua atau tiga minggu."

Ramsey bakal terlepas pertemuan dengan Crystal Palace sambil pertahanan tengah, Sokratis Papastathopoulos, akan menjalani penggantungan.

Granit Xhaka dan Denis Suarez pula bergelut dengan kecergasan untuk mengatasi kecederaan pinggul dan pangkal paha.

Arsenal akan menghadapi Valencia untuk perebutan pentas final Liga Europa, dengan The Gunners terlebih dahulu akan beraksi di tempat sendiri pada 2 Mei ini sebelum menuju ke Sepanyol seminggu kemudian.

Perlawanan akhir itu boleh menjadi pertembungan sesama wakil Liga Perdana memandangkan dalam satu lagi pertemuan separuh akhir, seteru mereka di London, Chelsea, akan berdepan Eintracht Frankfurt.
 

Advertisement

Must Watch Video