Skip to main content

Bola Sepak

Ramai ingin singkirkan Jerman -- Low

low.jpg
Joachim Low percaya pasukan handalan dalam Piala Dunia Russia lebih bermotivasi untuk menyingkirkan Jerman dan menyekatnya menjadi jurulatih pertama dalam tempoh 80 tahun untuk menjulang trofi berprestij itu buat kali kedua.

Selepas membimbing Jerman untuk meraih kejayaan dalam kempen di Brazil empat tahun lalu, barisan kendalian Low terkandas di peringkat separuh akhir Kejohanan Euro 2016, namun bangkit memenangi Piala Konfederasi 2017 -- mereka muncul pasukan terulung di dunia dalam kejohanan itu.

Jurulatih berusia 58 tahun itu yang sedang mempersiapkan skuadnya untuk menghadapi Mexico, Sweden dan Korea Selatan dalam Kumpulan F, berkata beliau menjangkakan banyak pasukan ingin menumbangkan anak buahnya. 

"Selaku juara dunia, Piala Konfederasi dan sering dalam kelompok tiga terbaik dunia sepanjang tempoh tiga atau empat tahun ini, maka anda akan menjadi buruan utama," katanya kepada SID.

"Setiap pasukan mahu menggulingkan juara bertahan."

Low, yang menaruh harapan untuk mengikut jejak jurulatih terakhir yang menjulang trofi Piala Dunia sebanyak dua kali -- Vittorio Pozzo, yang memenangi pertandingan itu bersama Itali pada 1934 dan 1938 -- sebaliknya berpendapat pencabar utama Jerman semakin mantap dalam empat tahun terakhir.

"Perancis semakin baik, Sepanyol bertambah baik, begitu juga Brazil dan Argentina," katanya.

"Untuk sekali lagi menjadi juara dunia, ia memberi makna besar kepada saya. Tentu saja ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah tetapi saya juga merendah diri. 

"Semua pasukan memiliki peluang untuk memenangi gelaran dan pada satu ketika, faktor-faktor lain akan memainkan peranan kerana kualiti pasukan tetap sama. 

"Perkara-perkara kecil boleh memberi kesan besar," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video