Skip to main content

Bola Sepak

Ramadhan: Sekali-sekala berilah saya peluang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ramadhan-abd-hamid_1.jpg
Penjaga gol muda Kelantan, Mohd Ramadhan Abd Hamid, tetap menganggap Khairul Fahmi Che Mat atau Apek sebagai penjaga gol utama The Red Warriors (TRW) sambil mengharapkan ketua jurulatih, Sathit Bensoh, sekali-sekala memberikannya peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Dia (Apek) tetap nombor satu dalam pasukan TRW, seorang penjaga gol yang kaya dengan pengalaman dan menjadi idola kepada kami sebagai pemain muda.

“Cuma, saya mengharapkan sesekali ketua jurulatih (Sathit) memberi peluang kepada saya untuk turun beraksi sebagai benteng terakhir skuad Kelantan,” katanya.

Ramadhan juga percaya penampilan sebanyak 15 kali bersama Kelantan  dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu dapat membantunya meningkatkan prestasi permainan untuk menghadapi musim yang lebih mencabar.

“Alhamdulillah, musim lepas ketika Apek cedera, saya menjadi pilihan bekas ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) bagi memikul cabaran sebagai penjaga gol TRW. Saya harap saya masih diberi kepercayaan yang sama untuk beraksi musim ini,” katanya.

Kelantan beraksi baik dalam Kejohanan Tiga Penjuru Piala Super Boost Sports Fix minggu lalu apabila muncul naib juara selepas menumpaskan Persija Jakarta (1-0) dan tumpas 4-3 kepada wakil Thailand, Ratchaburi FC. 

Ramadhan tidak beraksi dalam kedua-dua perlawanan bertaraf antarabangsa itu apabila sekadar diletakkan di bangku simpanan.
 

Advertisement

Must Watch Video