Ivan Rakitic mengambil pendekatan berhati-hati dengan impian Croatia untuk menjulang Piala Dunia Russia 2018 yang boleh dimusnahkan Denmark dan Christian Eriksen, Ahad nanti.
Skuad bimbingan Zlatko Dalic itu akan kembali ke Nizhny Novgorod, gelanggang di mana mereka menang 3-0 ke atas Argentina di peringkat kumpulan untuk pertemuan pusingan 16 nanti.
Croatia merupakan pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir, mendahului Kumpulan D dengan kemenangan ke atas Nigeria, Argentina dan Iceland manakala Denmark meloloskan diri daripada Kumpulan C di belakang Perancis.
Bintang Tottenham Hotspur, Eriksen, gagal memainkan peranan utama ketika seri 0-0 dengan Les Bleus, namun dia menyumbangkan gol ketika terikat 1-1 dengan Australia.
Sehubungan itu, Rakitic mengakui lawan di bahagian tengah itu nanti merupakan pemain yang harus diberi kawalan ketat jika mereka ingin mara.
"Mereka sangat padat, mereka tahu bagaimana untuk menyekat lawan mereka," katanya.
"Mereka membenarkan pasukan lawan mencipta beberapa peluang agar mereka dapat melancarkan serangan berbahaya dengan memiliki Christian Eriksen, yang merupakan salah seorang pemain terbaik di Eropah dan dunia.
"Terpulang kepada pemain, kami tidak akan bermain dalam Piala Dunia pada setiap tahun kerana ia adalah pentas terbesar buat pemain.
"Jika anda melayari laman sesawang dan media sosial, anda boleh melihat berapa ramai orang sedang menikmati Piala Dunia, baik di jalanan dan di kediaman. Wujud sokongan besar untuk setiap pasukan.
"Ada sebab kami berjauhan dengan keluarga kami selama sebulan, kami perlu menggunakan masa ini untuk melakukan segala yang kami mampu demi membantu kemenangan Croatia," katanya.
Denmark merakamkan satu kemenangan -- 1-0 ke atas Peru -- ddalam temasya Russia 2018, namun mereka terbukti memiliki benteng utuh dan masih belum mencetak gol dalam permainan terbuka.
Pemain tengah, Thomas Delaney, yakin Eriksen akan memberi inspirasi kepada mereka untuk memperkasakan bahagian serangan untuk bertemu Croatia, namun mengakui pergerakan rakan senegaranya itu terbatas ketika mereka berusaha berdepan Perancis tempoh hari.
"Bagi membolehkan Cristian menyerlah, dia memerlukan kami bermain dengan cara tertentu," katanya kepada TV FIFA. "Berdepan Perancis, kami memutuskan untuk menguasai bola, ia tidak memberikannya masa dan ruang untuk menunjukkan kualitinya.
"Kami tidak berpuas hati dengan ekspresi kami di padang dalam dua perlawanan pertama dan mungkin sebab itulah Cristian mengalami sedikit masalah."
PEMAIN TUMPUAN
Croatia: Ivan Perisic
Jaringan hebat yang dilakar ke atas Iceland mengingatkan peminat bahawa Ivan Perisic kekal sebagai sosok paling berbahaya Croatia. Apabila anda menganggap Denmark hanya melepaskan satu gol -- melalui penalti -- rentak dan kelincahan pemain sayap Inter Milan berkenaan sangat penting untuk menyalakan harapan pasukannya.
Denmark: Andreas Cornelius
Hebatnya, kesemua 29 gol Denmark dalam kelayakan Piala Dunia adalah di dalam kawasan penalti. Ini bermaksud tugas Cornelius sebagai penyudah begitu kritikal. Membuat sentuhan terakhir terhadap umpanan Eriksen itu mungkin peluang terbaik Denmark ke suku akhir.
Penulis Jemputan
Fri Jun 29 2018