Skip to main content

Bola Sepak

Rakitic dakwa Messi suntik keyakinan Barca

rakitic.jpg
Lionel Messi merupakan "pemain terbaik dalam sejarah" dan bintang Barcelona itu sekali lagi akan memimpin mereka untuk mengatasi rintangan Liverpool menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), kata Ivan Rakitic.

Penyerang Argentina itu memenangi gelaran LaLiga ke-10 di samping Barca hujung minggu lalu yang membenarkan fokusnya beralih kepada pertembungan separuh akhir dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Messi menjuarai UCL sebanyak empat kali dan pemain berusia 31 tahun itulah yang menjadi kebimbangan utama skuad The Reds itu di Camp Nou, awal pagi esok. 

Harapan itu menambahkan lagi tekanan buat mereka, namun Rakitic menegaskan bahawa rakan sepasukan Barca juga bergantung kepada Messi untuk membuat perbezaan.

"Setiap kali kapten kami mahu mengatakan sesuatu, kami ada di sana untuk menurutinya," kata pemain tengah Croatia itu dalam sidang akhbar, semalam. 

"Wujud tekanan berganda untuk memenangi UCL. Barca telah bermain dengan baik sejak beberapa tahun lalu dan ia menambahkan lagi tekanan.

"Leo telah menjuarai LaLiga sebanyak 10 kali dalam tempoh 15 tahun dan melihatnya mengangkat trofi berkenaan dengan begitu gembira sekali menjadi dorongan buat kami.

"Jika dia kelihatan begitu gembira setiap kali memenangi kejuaraan, ia menyemarakkan lagi semangat kami. 

"Kami sedar kami adalah Barca dan di bawah kepimpinan pemain terbaik dalam sejarah dunia menyuntik lagi keyakinan kami. 

"Messi telah memenangi empat gelaran UCL -- dia tidak akan berasa gemuruh. Apa yang perlu difahami ialah Leo memimpin kami dan kami akan menurutinya.

"Kami telah membuktikan bahawa kami bersedia untuk menghadapi setiap perlawanan. Kami mahu berada dalam aksi final di Madrid, kami tahu beberapa tahun kebelakangan ini prestasi kami tidak bagus dalam pertandingan ini, jadi kami mahu ke final tahun ini."

Sementara itu, meskipun finalis UCL tahun lalu, Liverpool, mungkin tidak memiliki pemain setaraf Messi, tiga penggempur mereka yang terdiri daripada Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino terus cemerlang. 

Bagaimanapun, Rakitic menekankan betapa sukarnya mereka untuk mengekang jentera serangan lawan mereka itu. 

"Saya amat mengenali dan menghormati Klopp," katanya.

"Saya pernah menentang pasukannya dan mereka sentiasa memberikan kawalan ketat dan teratur. Dia menjadikan pasukannya bertambah baik dan anda dapat menyaksikan bagaimana aksinya. 

"Untuk menyekat serangan Liverpool akan menjadi rumit. Anda mahu menyekatnya seawal mungkin dan tidak memberikan mereka ruang. Kami perlu menguasai perlawanan ini dan memastikan mereka berada jauh daripada gawang kami."

Aksi mantap Liverpool pula turut dibantu prestasi pertahanan tengah, Virgil van Dijk.

Pertahanan tengah dari Belanda itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain |Bolasepak Profesional (PFA) dan persembahan pemain itu turut mencuri perhatian saingan di Sepanyol. 

"Van Dijk merupakan salah seorang pertahanan terbaik dunia musim ini dan dia amat dihormati, termasuk rakan sepasukannya," kata Rakitic.

"Tidak kira apa namanya, kami sedar bahawa pertahanan Liverpool adalah cukup teratur tetapi kami berharap dapat mencetuskan lebih banyak masalah kepada mereka berbanding perlawanan lain musim ini."



 

Advertisement

Must Watch Video