Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Rakan sepasukan Sepanyol jadikan segalanya mudah -- Cazorla

santi-cazorla-spain_hmwx6on8dela1n38rn5h5qwy7.jpg
Pemain tengah Sepanyol, Santi Cazorla, memuji rakan sepasukannya yang membantu ketika dia kembali memperkuatkan pasukan sewaktu membenam Kepulauan Faroe 4-1 awal pagi tadi.

Pemain berusia 34 tahun itu meraih penampilan pertama dalam tempoh tiga setengah tahun susulan aksi cemerlang sejak kembali ke Villareal.

Sebelum ini, dia diberitahu tidak akan dapat berjalan lagi setelah melalui pembedahan melibatkan kulit akibat daripada kecederaan tendon yang turut memberi kesan menamatkan tempoh lima tahunnya di Arsenal.

Dia terlepas musim 2017-18 sebelum berhijrah ke Villareal, di mana dia melengkapkan kecergasan memukau dan melakukan 35 penampilan dalam LaLiga bagi kempen 2018-19.

Prestasi itu menyebabkan Luis Enrique memanggil semula Cazorla buat kali pertama sejak November 2015 dan detik itu menjadi sempurna buat La Roja menerusi kemenangan di Torshavn.

"Mudah untuk beraksi dengan pemain-pemain ini semula," kata bekas tonggak The Gunners itu.

"Mereka menjadikan permainan saya mudah dimainkan. Saya gembira dapat kembali bersama skuad kebangsaan."

Bagaimanapun, Cazorla berpendapat pasukan yang menduduki tangga ke-102 FIFA itu memberikan masalah buat mereka ketika mendahului 2-0 dalam 19 minit pertama.

Jaringan awal daripada Sergio Ramos dan Jesus Navas memberikan pendahuluan buat La Roja tetapi Klaemint Olsen merapatkan jurang selepas 30 minit permainan buat Kepulauan Faroe.

Walaupun jaringan sendiri daripada Teitur Gestsson memberikan kelebihan dua gol semula buat Sepanyol, tuan rumah lebih menyinar dalam separuh masa kedua dan membuat pelawat perlu bekerja lebih keras.

"Perlawanan seperti ini, lawan tampak mudah tetapi tidak," tambahnya.

"Kami mahu kekal fokus selepas mereka menyumbat gol dan akhirnya meraih kemenangan."

Selepas ini, Cazorla dan rakan sepasukannya akan melayan kunjungan Sweden, Isnin depan.

Pertemuan di antara dua pasukan belum tewas dalam Kumpulan F saingan kelayakan Euro 2020 itu dijangka sengit, terutama setelah Sweden menundukkan Malta 3-0.

"Perlawanan berdepan Sweden akan rumit kerana mereka pasukan yang bagus tetapi penyokong kami di laman sendiri sentiasa ada, jadi kami yakin."
 

Advertisement

Must Watch Video