Skip to main content

Bola Sepak

Raickovic pikat David

21517raickovic.jpg
Selepas 48 jam kontrak pemain kelahiran Filipina, Mark Andrew Hartmann, ditamatkan secara persetujuan bersama pada Khamis lalu, Sarawak mengikat pemain import baru semalam sebagai pengganti posisi yang ditinggalkan.

Jurulatih pasukan, David Usop, memilih pemain yang berasal dari Montenegro, Milos Raickovic Rai, 23, untuk memberi pembaharuan kepada jentera tengah, selain untuk memastikan lebih banyak gol dihasilkan.

Bekas pemain tengah skuad bawah 21 Montenegro yang memiliki ketinggian 1.87 meter itu tidak banyak menyarung jersi pasukan lain sebelum ini.

Rekod menunjukkan bahawa dia hanya bermain untuk kelab asalnya, Buducnost Podgorica, sebelum dipinjam setahun oleh FK Bratstvo.

Penglibatannya dalam pasukan itu berjaya membantu Buducnost muncul naib johan Liga Montenegro selama dua musim selain muncul juara Piala Montenegro pada musim 2012/13 dan finalis pada musim lalu.

Kemasukan  Raickovic dijangka memberi suntikan baru, yang dapat mengatasi kemarau kemenangan pasukan Ngap Sayot itu.

Tiga hari lalu, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, mendedahkan kekecewaannya terhadap prestasi Hartmann dan membayangkan penyingkirannya.

Sementara itu, nasib seorang lagi pemain tengah, Lee Jong-ho, bergantung kepada prestasi semasa serta kemampuan pemain lain yang boleh menggantikan kedudukannya.

"Kami berusaha untuk memastikan mereka beraksi semaksimum mungkin kerana tidak mahu kerugian daripada segi pampasan," katanya.

Jika sijil perpindahan antarabangsa dapat didaftarkan dengan pantas, David dijangka dapat menguji kemampuan Raickovic dalam aksi menentang Perak, Rabu ini.

Advertisement

Must Watch Video