Skip to main content

Bola Sepak

Pulisic tidak mahu ambil alih tempat Hazard

christianpulisic.jpg
Christian Pulisic berharap sudah membuktikan kemampuannya di Chelsea tetapi menegaskan dia tidak berniat untuk menggantikan Eden Hazard.

Pulisic menandatangani kontrak bersama Chelsea, Januari lalu, tetapi kembali ke Borussia Dortmund sebagai pemain pinjaman, sekali gus menjadi satu-satunya pemain baru Chelsea bagi musim ini selepas kelab tersebut digantung daripada membeli pemain baru.

Ketika bekas bintang The Blues, Hazard, menyertai Real Madrid, tekanan kini terletak di bahu pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu untuk beraksi cemerlang.

Tetapi Pulisic menegaskan sebelum ini bahawa dia tidak mahu dibandingkan dengan Hazard dan lebih berminat membentuk reputasinya sendiri -- sesuatu yang dipercayai sudah bermula.

Pulisic meledak dua gol dalam aksi pra-musim ke atas Salzburg -- prestasi yang diharapkan oleh seluruh penyokong Chelsea sejurus musim baru bermula.

"Ia merupakan satu kelegaan selepas menjaringkan gol pertama untuk Chelsea," kata Pulisic.

"Menjadi pemain terbaru dan hadir ke dalam kelab ini, saya perlu membuktikan kemampuan saya, terutama sekali kepada rakan sepasukan.

"Saya berharap telah melakukan sesuatu dan diterima oleh semua pihak.

"Menjaringkan gol adalah tujuan utama saya. Beraksi di posisi menyerang, saya mahu menjaringkan gol, saya juga mahu melakukan bantuan jaringan. Tugas saya ketika bertahan juga sangat penting.

"Saya tidak cuba untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hazard, dia seorang pemain yang menakjubkan. Saya mahu menjadi diri saya sendiri dan cuba yang terbaik untuk pasukan.

"Kami masih lagi dalam fasa pramusim dan saya memiliki peluang untuk membuktikan kebolehan saya."

Skuad kendalian Frank Lampard itu bakal memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Manchester United, 11 Ogos ini.

Advertisement

Must Watch Video