Skip to main content

Bola Sepak

PSG tidak akan kejar De Ligt -- Leonardo

deligt.jpg
Paris Saint-Germain (PSG) berminat untuk menandatangani Matthijs de Ligt dari Ajax, namun tidak akan membeli pertahanan itu, kata pengarah sukannya, Leonardo.

Persembahan De Ligt ketika membantu Ajax menjuarai dua gelaran domestik di samping melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), menarik perhatian gergasi Eropah.

Tetapi Juventus kelihatan sudah mendapatkan khidmat pertahanan itu selepas ejen De Ligt, Mino Raiola, berkata persetujuan telah dicapai dengan juara Serie A itu.

Perbincangan mengenai yuran perpindahan masih lagi dilakukan di antara Juventus dan Ajax, dengan De Ligt kelihatan hadir untuk sesi latihan pra-musim bersama gergasi Belanda itu semalam.

Leonardo menerima De Ligt tidak akan menyertai PSG sambil mendedahkan juara Ligue 1 itu tidak akan berbelanja besar musim panas ini.

"De Ligt tidak akan datang ke PSG," kata Leonardo.

"Dia seorang pemain berkualiti tetapi kelab tidak akan berbelanja besar untuk pemain itu. Kami perlu bertenang seketika.

Pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly, telah dikaitkan sebagai alternatif buat De Ligt tetapi Leonardo menegaskan pemain kebangsaan Senegal itu turut memiliki tanda harga yang tinggi.

"Dia seorang pemain yang mahal. Buat masa ini, kami tidak memiliki sebarang projek yang spesifik," ujarnya.

Leonardo turut mendedahkan kelab itu telah menawarkan untuk memastikan Adrien Rabiot kekal di Paris tetapi pemain tengah itu mengambil keputusan untuk menyertai Juve sebagai ejen bebas.

Rabiot dan Aaron Ramsey berhijrah ke Turin bagi memperkukuhkan jentera tengah, yang menyaksikan bekas pemain PSG, Blaise Matuidi, mungkin kehilangan tempat dalam skuad utama.

"Saya menggemari Matuidi. Saya sangat menghormatinya dan merupakan pemain utama PSG sebelum ini.

"Tetapi PSG akan meneruskan musim baru dengan barisan yang sama."

PSG telah menandatangani Ander Herrera dan Pablo Sarabia menjelang musim baru tetapi penjaga gol, Gianluigi Buffon, telah kembali ke Juve.
 

Advertisement

Must Watch Video