Skip to main content

Bola Sepak

PSG perlu lepaskan Neymar -- Verratti

neymar.jpg
Paris Saint-Germain (PSG) tidak perlu menyimpan Neymar jika dia mahu meninggalkan kelab, kata rakan sepasukan, Marco Verratti.

Bintang kelahiran Brazil itu telah dikaitkan mahu kembali ke Barcelona, dua tahun selepas menyertai PSG dan pengarah sukannya, Leonardo, mengesahkan Neymar mahu meninggalkan kelab.

Barca dilaporkan telah menawarkan EURO100 juta (RM459 juta) dan dua pemain di antara Ousmane Dembele, Philippe Coutinho, Samuel Umtiti, Nelson Semedo, Ivan Rakitic dan Malcom sebagai pertukaran.

Dan Verratti – yang hampir menyertai Barca dua tahun lalu -- berasakan PSG akan bertambah mudarat jika menghalang Neymar daripada berhijrah.

"Saya berasakan jika seseorang pemain itu mahu berhijrah, pada penghujungnya dia akan mencari jalan untuk keluar daripada kelab ini," kata Verratti kepada RMC Sport.

"Ia adalah jalan terbaik. Apabila seseorang pemain itu mahu meninggalkan kelab, dia harus dibenarkan pergi. Ia adalah yang terbaik untuk kelab dan pemain itu sendiri."

Leonardo berkata pihak kelab masih lagi menunggu tawaran yang bersesuaian jika Neymar mahu meninggalkan kelab tetapi Verratti masih lagi meletakkan harapan kepada pemain berusia 27 tahun itu untuk kekal di Paris.

"Sememangnya, saya agak kecewa jika dia berhijrah. Neymar seorang pemain berkualiti.

"Secara peribadi, saya tidak pernah mendengar dia berkata mahu berhijrah."

Neymar masih belum membuat penampilan bersama PSG dalam pramusim dan bakal terlepas aksi pemanas badan terakhir berdepan kelab Liga-A, Sydney FC, di Suzhou.

Advertisement

Must Watch Video