LIGUE 1
PSG nafi terlalu kerah kudrat Kylian Mbappe
Kudrat Kylian Mbappe tidak pernah disalahgunakan oleh Paris Saint-Germain (PSG) sejak Piala Dunia di Qatar dan kecederaan adalah sebahagian daripada kerjaya ini, menurut pengurus, Christophe Galtier.
Mbappe dijangka terlepas perlawanan pertama peringkat 16 Liga Juara-Juara (UCL) PSG di antara Bayern Munich, dua minggu lagi, berikutan kecederaan hamstring yang dialaminya dalam kemenangan di Montpellier, Khamis lalu.
Penggempur itu bakal berehat selama tiga minggu, sekali gus terlepas perlawanan Ligue 1 menentang Toulouse, Monaco dan Lille, serta pertembungan Coupe de France dengan Marseille.
Iklan
Memandangkan Mbappe mencetak 25 gol dalam 26 penampilan buat PSG musim ini, ia merupakan tamparan hebat tatkala mereka memasuki peringkat getir musim ini dengan Neymar turut berada dalam senarai kecederaan.
Menjelang pertemuan dengan Toulouse tengah malam ini tatkala PSG berusaha untuk melanjutkan kelebihan lima mata yang dihambat Marseille, secara tidak langsung Lionel Messi bakal turun tanpa gandingan utamanya di jentera serangan.
Galtier sudah mempertimbangkan faktor adakah dia terlalu mengerahkan kudrat Mbappe sejak penyerang Perancis itu kembali daripada temasya Qatar 2022.
Malah, jelasnya PSG telah cuba melindungi Mbappe dengan sebaik mungkin.
"Kami berada dalam musim yang unik, dengan Piala Dunia di tengah-tengah persaingan ," katanya.
"Dan di kebanyakan kelab lain yang juga mempunyai ramai pemain antarabangsa, terdapat keletihan yang secara automatik mengundang kecederaan.
“Sebagai satu falsafah, saya terbiasa mengatakan kecederaan adalah sebahagian daripada kerjaya ini.
"Kami memohon maaf terutama buat Kylian. Dia seorang pesaing dan sentiasa mahu terlibat, tetapi kami tidak boleh elak daripada berdepan masalah fizikal pada musim ini, ia adalah sebahagian daripada musim ini dan sebahagian daripada kempen ini.
"Lebih-lebih lagi buat sebuah kelab dengan pemain antarabangsa yang khidmatnya sering ditagih sepanjang masa, baik di peringkat kelab mahupun negara."
Must-Watch Video