Skip to main content

Bola Sepak

Proses naturalisasi De Paula perlukan masa

guilerme-de-paula-kuala-lumpur.jpg
"Guilherme De Paula tidak boleh tunggu lagi."

Itu pendedahan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengenai hasrat penyerang itu untuk mewakili negara tatkala proses naturalisasi pemain Perak tersebut hanya akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Sejurus FAM mengumumkan Liridon Krasniqi yang sah menjadi warganegara Malaysia semalam, status De Paula pula menjadi tanda tanya.

Ini kerana bekas penyerang Kuala Lumpur dan PDRM itu turut dalam radar FAM untuk dijadikan pemain naturalisasi.

Stuart mengesahkan permohonan De Paula itu memerlukan sedikit masa lagi atas beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

"FAM mengambil kira proses naturalisasi ini secara serius.

"Kami bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam (urusan) memberi kewarganegaraan kepada pemain yang boleh menyertai pasukan kebangsaan.

"Oleh itu, kami perlukan jaminan adakah (seseorang pemain itu) boleh mewakili Malaysia sebelum memulakan proses kewarganegaraan untuknya," katanya di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini. 

Jika tiada sebarang halangan, pemain kelahiran Brazil itu akan muncul pemain naturalisasi ketiga negara selepas Liridon dan Mohamadou Sumareh.

Ia sekali gus mampu memperkasakan lagi skuad Harimau Malaya untuk mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"De Paula sudah bersedia untuk mewakili Malaysia. 

"Sudah beberapa kali dia secara peribadi berkata kepada saya bahawa dia tidak sabar-sabar lagi untuk mewakili Malaysia tetapi proses kerakyatan yang membabitkan bola sepak agak berbeza.

"Kami berharap ia boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu dua lagi," tambahnya.  

Editor: Shaiful Shamsudin 

 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found