BOLA SEPAK
Program naturalisasi di landasan tepat -- Stuart
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, melabelkan program naturalisasi pemain kelolaan badan induk itu semakin berada di landasan tepat selepas satu pertemuan diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Delegasi FAM yang diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Putrajaya.
Ia bagi membincangkan perancangan masa depan FAM menerusi Peta Hala Tuju F:30, terutama membabitkan proses naturalisasi untuk pemain asing dan warisan.
Iklan
Selain menyerahkan dokumen F:30 kepada Muhyiddin, FAM turut menyerahkan kertas kerja projek naturalisasi yang mengandungi beberapa perkara penting.
Antaranya, syarat dan status Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), polisi Kerajaan Persekutuan, kontrak dan yuran perpindahan serta kes-kes contoh.
"Ia untuk memastikan kerajaan dan FAM di arah hala tuju yang sama berdasarkan polisi serta proses yang sama. Jadi, tiada perbincangan mengenai senarai pendek tetapi hanya memastikan proses yang sedia ada dalam FIFA dan di Malaysia difahami," kata Stuart.
Difahamkan, beberapa nama sudah disenarai pendek sebagai calon pemain naturalisasi negara, antaranya Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Michael Ijezie.
Must-Watch Video