Skip to main content

Bola Sepak

Prestasi Shahrel Fikri beri petanda positif buat skuad negara -- Zaquan

asiana-shahrel.jpg
Kapten pasukan bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, menganggap prestasi memberangsangkan yang dipamerkan oleh penyerang, Shahrel Fikri Md Fauzi, sebagai petanda positif untuk skuad Harimau Malaya.

Walaupun Shahrel boleh dianggap sebagai pesaingnya dalam merebut tempat di jentera serangan, pemain berusia 31 tahun itu melihatnya dari sudut positif demi peningkatan prestasi pasukan kebangsaan.

“Ia adalah baik untuk sesuatu pasukan untuk memiliki pilihan pemain yang ramai. Saya rasa setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Ini merupakan sesuatu yang positif dan saingan sihat untuk pasukan. Shahrel ada kelebihannya sendiri dan begitu juga dengan pemain-pemain lain.

“Saya sangat berterima kasih kepada Shahrel kerana dengan pengalaman yang ada dalam Liga 1 Thailand, dia dapat membawanya ke skuad kebangsaan.

"Kita juga dapat mempelajari sesuatu daripada dia,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi, sejurus tiba di tanah air selepas mengharungi dua aksi persahabatan bersama skuad Harimau Malaya menentang Taiwan dan Kemboja.

Malaysia yang tewas 0-2 dalam  aksi persahabatan pertama menentang Taiwan di Taipei, Jumaat lalu, namun bangkit menewaskan Kemboja 3-1 di Phnom Penh kelmarin untuk mencatatkan kemenangan pertama Malaysia di tempat lawan sejak menewaskan New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016.

Shahrel yang kini beraksi di kelab Nakhon Ratchasima, muncul wira dalam perlawanan di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh itu apabila menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan dua lagi gol.

Mengulas lanjut mengenai dua aksi persahabatan itu, Mohd Zaquan berkata dua aksi itu membantu pemain untuk mengenali satu sama lain dan mendapatkan keserasian untuk persediaan ke Piala AFF, November ini.

“Saya berharap dalam dua perlawanan persahabatan yang kita hadapi ini, kita dapat belajar sesuatu yang positif. Harap kemenangan dengan Kemboja ini beri suntikan semangat untuk kita bawa ke Piala AFF nanti,” kata pemain Kuala Lumpur itu.

Tiga lagi aksi persahabatan dijadualkan untuk Malaysia, yang menghuni ranking ke-171 dunia, sebagai aksi pemanas badan sebelum Piala AFF, iaitu menentang Sri Lanka di Colombo pada 8 November, Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka (12 Okt) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 Nov).

Dalam saingan Piala AFF,November ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar manakala Kumpulan B dibarisi Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor Leste.

-- BERNAMA

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video