LIGA INGGERIS
Prestasi Pogba tidak gusarkan saya -- Solskjaer
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, tidak gusar dengan kemerosotan prestasi Paul Pogba.
Pemain tengah kebangsaaan Perancis itu memaparkan aksi mengecewakan ketika United tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, awal pagi tadi.
Jaringan pertama Scott McTominay buat pasukan itu meletakkan United di depan sebelum Diogo Jota menyamakan kedudukan dan kapten United, Ashley Young, dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua.
Iklan
United kekal menguasai perlawanan walaupun kekurangan seorang pemain dan pintu gol yang dijaga David de Gea juga tidak dibolosi sebelum sepakan lintang Joao Moutinho ditampan ke gawang sendiri oleh Chris Smalling.
Selepas menjaringkan sembilan gol dalam 12 perlawanan pertama Solskjaer, Pogba kini tidak menjaringkan sebarang gol dalam tujuh perlawanan.
Apabila ditanya tentang kegusarannya menyaksikan Pogba bergelut di depan gawang, Solskjaer berkata dalam sidang media: "Dia mampu untuk melakukan bantuan jaringan dengan mudah ketika bergandingan dengan Romelu (Lukaku). Ia hanya nombor dan angka.
"Paul berusaha keras seperti pemain lain dalam pasukan ini.
"Adakalanya ia tidak menjadi," katanya.
Solskjaer turut memuji McTominay, yang menjaringkan gol pertamanya selepas melakukan 41 penampilan buat United.
Pemain kebangsaan Scotland itu bukanlah pilihan utama penyokong United, namun Solskjaer berasakan pemain itu mempunyai segala-galanya untuk meneruskan karier gemilangnya di Old Trafford.
"Dia tidak pernah mengecewakan kami.
"Dia menunjukkan satu lagi aksi hebat.
"Ia tidak sukar untuk menyaksikan dia mewakili United.
"Dia mempunyai mentaliti yang hebat, sangat lasak dan boleh bermain di posisi berbeza," tambahnya.
Solskjaer, bagaimanapun, tidak merungut terhadap insiden kad merah Young dan percaya pemain berusia 33 tahun itu menyesali tindakannya melakukan terjahan keras ke atas Jota walaupun sudah dilayangkan kad kuning sebelum itu.
"Apabila anda sudah dilayangkan kad kuning, ia sentiasa berbahaya untuk anda melakukan terjahan.
"Anda perlu mendapatkan bola terlebih dahulu, jika tidak, anda akan mendapat kad kuning kedua.
"Ia keputusan salah yang dilakukan Young, namun pada masa itu, dia menjangkakan dia dapat menyentuh bola itu.
"Ia agak tinggi dan saya berasakan Ash perlu melakukan terjahan lebih rendah," katanya lagi.
Must-Watch Video