Ange Postecoglou memuji persembahan cemerlang Tottenham dalam separuh masa pertama selepas menyingkirkan Southampton 5-0 di Stadium St Mary, awal pagi tadi.
Spurs menyumbat lima gol dalam babak pertama untuk rekod bersejarah mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi penyudah berganda James Maddison selain jaringan Son Heung-min, Dejan Kulusevski dan Pape Sarr.
Tottenham melancarkan 16 percubaan dalam babak pertama dengan lapan percubaan tepat.
Postecoglou yang mula mengundang perhatian berikutan prestasi buruk anak buahnya telah menekankan kepentingan permulaan garang pada awal permainan kepada pemainnya, gembira dengan mutu persembahan mereka.
Dia memberitahu TNT Sports: "Kami mempunyai 10 pemain utama yang tidak dapat dipertaruhkan dan untuk pemain lain keluar dengan tenaga sebanyak itu adalah luar biasa.
"Kami terpaksa bermula dengan garang kerana sedar bahawa kami akan keletihan. Kami terlalu menekan ramai pemain.
"Kami mempunyai peluang awal yang terhidang dalam beberapa perlawanan terakhir dan jika kami memanfaatkannya, maka kami mampu menghadirkan tekanan kepada pihak lawan.
"Saya berpesan sebelum perlawanan, 'Mari kita bersedia, mari kita mulakan dengan pantas'.
"Saya hanya mahu pemain berasa gembira dan meraih ganjaran atas usaha mereka itu.
"Kami tidak boleh merehatkan atau merombak pasukan hanya kerana anda mahu pemain berasa gembira.
"Mereka menikmati ganjarannya malam ini, kami akan berehat dan bersedia untuk perlawanan penting menentang Manchester United dalam Piala EFL (Piala Liga Inggeris).