Ketiadaan Paul Pogba dalam skuad Juventus semalam berlaku selepas dia berasakan kecederaan pangkal paha ketika mengambil sepakan percuma dalam latihan, menurut Massimiliano Allegri.

Ketua jurulatih, Allegri menjelaskan situasi Pogba sebelum Juventus berdepan Sampdoria dalam tugasan Serie A, pada penghujung minggu bergelora untuk pemain tengah Perancis, Pogba.

Bekas pemain Manchester United itu berdepan masalah kecederaan lutut dan paha sejak memulakan aksi kedua di Juventus Julai lalu, muncul hanya selama 34 minit dalam dua penampilan sebagai pemain gantian.

Pogba nampaknya telah mengetepikan masalah kecederaan itu apabila tampil secara ringkas dalam perlawanan berturut-turut menentang Torino dan Roma, tetapi dia digugurkan untuk perlawanan Khamis dengan Freiburg.

Itu disebabkan Pogba hadir lewat untuk pertemuan pasukan menjelang perlawanan Liga Europa, namun Allegri berkata pada hari Sabtu dia akan terlibat menentang Sampdoria.

Bagaimanapun, rancangan itu berubah semalam, memberikan satu lagi tamparan kepada pemain dan kelab.

Allegri memberitahu DAZN sebelum sepak mula, "Pagi ini semasa dia melakukan sepakan percuma dia berasa tidak selesa pada pangkal paha, dia berhenti.

"Esok kita akan lihat sejauh mana kecederaannya. Malam ini dia boleh membantu kami, tapi kami mahu menunggu dahulu, benda seperti ini berlaku dalam hidup.

"Dia perlu serta ingin berada di tahap terbaik untuk bangkit dan mahu kembali kepada pemain seperti sebelum ini."