LIGA INGGERIS
Pogba akan kekal di United, kata Evra
Patrice Evra berkata Paul Pogba akan kekal bersama Manchester United walaupun dia tidak tahu berapa lama pemain yang menjadi sasaran Real Madrid itu akan kekal bersama pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris berkenaan.
Pogba dikaitkan untuk meninggalkan United dengan Madrid dan bekas pasukannya, Juventus, dikhabarkan berminat untuk mendapatkan pemain skuad juara dunia Perancis itu.
Madrid bersedia untuk membawa Pogba ke Santiago Bernabeu sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Eropah, Isnin ini, walaupun United dikhabarkan mahu memadamkan rekod perpindahan termahal dunia Neymar daripada Barcelona kepada Paris Saint-Germain (PSG), yang bernilai €222 juta (RM1.03 bilion) pada 2017.
Iklan
Terdahulu, Evra mendedahkan Pogba tidak berasa disayangi di Manchester walaupun bekas pertahanan kiri The Red Devils berkenaan menyarankan agar rakan senegaranya itu kekal di United.
"Paul sedang fokus, Paul berada di Manchester dan akan kekal di Manchester," katanya yang memenangi lima gelaran Liga Perdana dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebagai sebahagian daripada waktu gemilangnya di Old Trafford.
"Memang terdapat perbincangan, namun ia baik untuk kelab dan baik untuknya (kekal di Manchester).
"Sekarang dia perlu memberikan konsentrasi.
"Dia akan dapat melihatnya dalam beberapa tahun lagi jika dia kekal, namun amat sukar untuk dia meninggalkan United ketika ini.
"Meninggalkan pasukan pada penghujung jendela perpindahan ketika musim sudah bermula? Tidak.
"Saya harap dia akan melalui musim yang hebat bersama Manchester.
"Saya tidak berbelah-bahagi. Paul, dia adalah adik saya, jadi dia yang terbaik untuk saya.
"Jika dia tidak gembira di Manchester, saya mahu dia pergi.
"Jika dia gembira di Manchester, saya mahu dia kekal.
"Tetapi untuk memberitahu perkara sebenar, saya menyarankannya untuk kekal," katanya.
Pogba dan United berdepan permulaan tidak menentu musim ini apabila meraih satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan daripada tiga perlawanan pertama.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu menewaskan Chelsea 4-0 dalam perlawanan pembukaan sebelum diikat seri oleh Wolves dan tewas kepada Crystal Palace minggu lalu.
United, yang kehilangan khidmat Luke Shaw dan Anthony Martial gara-gara kecederaan, akan berkunjung ke laman Southampton, malam esok.
Saksikan secara langsung perlawanan di antara The Red Devils dan Southampton di Rasta, TTDI, malam esok, bermula 6 petang hingga 9.30 malam, anjuran istimewa Stadiumastro dan Astro Awani.
Must-Watch Video