Skip to main content

Bola Sepak

Pogba akan ke Barcelona, Real Madrid, kata abangnya

pogba.jpg
Paul Pogba bakal menyertai Real Madrid atau Barcelona apabila meninggalkan Manchester United, menurut abangnya, Florentin.

Bintang United tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke salah sebuah daripada dua kelab terbesar LaLiga itu dalam beberapa bulan terakhir yang lalu ketika tempoh sukar di bawah kendalian Jose Mourinho di Old Trafford, bahkan Pogba mulai dipinggirkan dan sekadar memainkan peranan sebagai pemain gantian.

Sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih kerusi panas sebagai pengurus sementara bulan lalu, Pogba kembali dalam kesebelasan utama dan telah membalas kepercayaan itu dengan memberikan beberapa persembahan luar biasa untuk United melakar tujuh kemenangan.

Bagaimanapun, Florentin, yang bersedia untuk berpindah ke kelab divisyen dua Sepanyol, Elche, menganggap adiknya itu juga akan berpindah ke Sepanyol pada masa depan -- tetapi hanya jika Barca atau Madrid membuat tawaran. 

"Kami menggemari permainan tiki-taka. Sekiranya berpeluang, saya akan menonton perlawanan membabitkan Real Madrid atau Barcelona (di televisyen) atau berkunjung ke Camp Nou," katanya kepada AS ketika ditanya tentang kekaguman Pogba terhadap corak permainan Barca.

"Apabila adik saya meninggalkan Manchester United, hanya ada tiga kelab yang dia akan sertai: (Manchester) City, Real Madrid atau Barca. Dia tidak akan pergi ke City, jadi dia akan ke Sepanyol: Barca atau Madrid.

"Ketika di Juventus, dia berpeluang ke Barcelona, namun dia bertekad untuk kembali ke Manchester United, kerana tidak pernah berpeluang untuk beraksi di sana. Dia juga mendapat tawaran daripada Madrid ketika dikemudi Zinedine Zidane, namun dia berpatah balik ke England."

Florentin yakin bahawa pemergian Mourinho adalah faktor penting terhadap prestasi adiknya -- juara Piala Dunia 2018 -- apabila menyumbat lima gol dan empat bantuan jaringan dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Pemergian Mourinho adalah kuncinya," katanya. "Dia tidak gembira dan ia jelas kelihatan. Apabila di bawah bimbingan Solskjaer, segala-galanya jauh lebih baik. Adik saya mengenali beliau sejak zamannya di Manchester United."
 

Advertisement

Must Watch Video