Skip to main content

Bola Sepak

Pogba akan bersama United musim depan -- Solskjaer

paul-pogba.jpg
Ole Gunnar Solskjaer menjangkakan Paul Pogba akan kekal bersama Manchester United musim depan di sebalik spekulasi yang semakin meningkat mengenai perpindahannya ke Real Madrid. 

Laporan telah mencadangkan pemenang Piala Dunia itu bakal menyertai gergasi LaLiga tersebut musim depan di sebalik persembahan hambar United menyaksikan harapan mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan kelihatan samar.

Skuad bimbingan Solskjaer itu tewas tujuh kali dalam sembilan perlawanan, mendedahkan pergelutan yang dihadapi pasukan yang perlu dirombak dalam jendela perpindahan seterusnya.

Penjualan Pogba ke Real akan memberikan kelebihan kepada United untuk mendapatkan pemain-pemain baru tetapi pengurus The Red Devils itu yakin pemain itu adalah aset di Old Trafford. 

"Anda tidak boleh menjamin apa-apa dalam bola sepak tetapi saya berasakan Pogba akan bersama United musim depan," kata Solskjaer.

"Saya pasti dia mahu berjaya bersama pasukan.

"Pogba telah menghasilkan peluang, menjaringkan gol dan banyak lagi untuk pasukan tetapi media, penyokong dan semua pihak bertanya, 'bolehkah dia melakukan dengan lebih baik?'

"Pogba telah berusaha untuk United. Dia juga seorang manusia. Dia seorang pemimpin dalam bilik persalinan dan di atas padang.

"Bagaimanapun, segalanya terletak di tangannya untuk kekal bersama pasukan atau pun tidak tetapi saya berharap dia akan bersama kami," tambahnya.

Bekas kapten Red Devils, Roy Keane, mengkritik pemain berusia 26 tahun itu secara terbuka menjelang kekalahan 2-0 kepada Manchester City, dengan mendakwa pemain kebangsaan Perancis itu hanya bermain untuk dirinya sendiri.

Solskjaer membalas pandangan tersebut sambil menegaskan gaya permainan bekas rakan sepasukannya itu tidak konsisten dalam permainan moden.

"Kami memiliki skuad yang penuh dengan pemain berbakat.

"Saya berasakan dunia sudah berubah, jadi anda tidak memiliki pemain seperti Bryan Robson, Keane atau Steve Bruce dalam bilik persalinan. Kami semua berbeza.

"Saya gemar beraksi bersama Keane dan semua bercakap mengenai Robson tetapi segalanya sudah berubah.

"Saya tidak memimpin pasukan sama seperti Alex Ferguson atau Louis Van Gaal atau Jose Mourinho, kami adalah pemimpin yang berbeza."

Advertisement

Must Watch Video