Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino tidak merungut dengan dua kad merah Spurs

son-heung-min.jpg
BOURNEMOUTH 1 TOTTENHAM HOTSPUR 0

Mauricio Pochettino menegaskan dia menghormati keputusan pengadil, Craig Pawson, melayangkan kad merah terhadap Son Heung-min dan Juan Foyth ketika Tottenham Hotspur tewas 0-1 kepada Bournemouth dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, awal pagi tadi.


Heung-min dibuang padang selepas menjatuhkan Jefferson Lerma sebelum tamat separuh masa pertama manakala Foyth dilayangkan kad merah hanya selepas dua minit dan 13 saat selepas perlawanan bersambung angkara melakukan terjahan keras ke atas Jack Simpson.

The Cherries membuktikan penguasaan mereka dalam waktu kecederaan dengan Nathan Ake menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru.

Ditanya sama ada penyingkiran Heung-min itu terlalu berat buat pasukannya, Pochettino memberitahu Sky Sports: "Tiada apa untuk diperkatakan. Saya menghormati keputusan pengadil dan pendapat saya tidaklah begitu penting.

"Anda tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku."

Mengenai kad merah Foyth, Pochettino menambah: "Sekali lagi, saya tidak nampak apa yang berlaku tetapi saya menghormati keputusan pengadil.

"Amat malang buat kami. Yang pertama melibatkan Sonny, kemudian Juan.

"Kami cuba beraksi dengan kekurangan seorang pemain. Ia amat malang buat kami.

"Saya tiada apa-apa untuk diperkatakan.

"Saya berasakan usaha yang dilakukan terlalu besar.

"Dengan sembilan pemain, kami bertahan dan beraksi baik, namun ia tidak mencukupi kerana kami dibolosi pada saat-saat akhir," katanya.

Spurs kini perlu melakukan sesuatu menjelang aksi liga terakhir menentang Everton bagi memastikan mereka menamatkan musim dalam kelompok empat pasukan terbaik ketika mereka juga akan bertandang ke Amsterdam untuk menterbalikkan defisit satu gol ke atas Ajax dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini.

Disebalik kekaburan terhadap pengakhiran pasukannya musim ini, Pochettino masih berbangga dengan apa yang diraih mereka sepanjang musim ini.

"Kami di tangga ketiga dan masih bersaing untuk merebut empat tempat teratas.

"Kami juga berada dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

"Jika anda mengimbas kembali keputusan perlawanan pertama kami musim ini, sesiapa sahaja akan bergembira untuk berada di mana kami berada sekarang.

"Saya berbangga dengan pencapaian kami musim ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video