Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino: Spurs harus kaji gerakan tanpa bola Messi

messi.jpg
Mauricio Pochettino menjelaskan Tottenham harus mempamerkan rentak seperti yang dipersembahkan Lionel Messi ketika menentang Ajax dalam babak kedua Liga Juara-Juara (UCL). 

Gol Donny van de Beek memastikan kelab Belanda itu memiliki kelebihan 1-0 dalam pertemuan pertama menjelang aksi timbal balik di Amsterdam, Khamis depan.

Spurs akan menagih kepulangan Son Heung-min daripada penggantungan, namun Pochettino mengetepikan kelibat Harry Kane gara-gara kecederaan buku lali.

Messi, yang menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 30 ela ketika Barca mengalahkan Liverpool 3-0 di Camp Nou, menawarkan pelan tindakan buat Spurs bagi memadamkan defisit berkenaan.

Lantas, Pochettino memuji rakan senegaranya itu sambil Spurs mula mempertimbangkan kebangkitan untuk keberangkalian menempah pertemuan dengan Barcelona bagi penentuan juara di Madrid.

"Apa yang boleh saya katakan tentang Messi? Dia adalah salah seorang dewa dalam bola sepak," kata Pochettino.

"Ia sukar dipercayai, keinginan dan keupayaannya ketika mengawal bola di kakinya dan tanpa bola di kakinya.

"Sudah tentu, jika kami menampilkan corak permainan seperti Messi, kami pasti akan berpeluang tetapi bukanlah menerusi kemampuan mengawal bola, sebaliknya pergerakan tanpa bola.

"Jika pemain bergerak tanpa bola seperti kemahuan yang diperlihatkan Messi semalam, pasti kami berpeluang untuk layak ke final. Jika tidak, tiada langsung. 

"Itu satu aspek yang penting dan ia sangat menyakitkan. Dalam satu lagi pertembungan separuh akhir, apabila anda melihat kemahuan dan motivasi Messi, lalu saya berkata kepada diri sendiri, 'Mengapa kami tidak mempunyai motivasi dengan cara yang sama?'"

Spurs kalah empat daripada lima perlawanan terakhir dan mereka harus bangkit ketika bertemu Bournemouth esok atau kedudukan mereka akan dipintas lawan dalam perebutan tiket kelayakan Liga Juara-Juara (UCL). 

"Ini adalah tempoh getir buat kami," kata Pochettino dalam sidang berita pra-perlawanan. "Kami akan beraksi dalam separuh akhir kedua UCL dan menentang Bournemouth esok. 

"Ketika ini, saya tidak punya masa untuk bercakap terlalu banyak, sudah tiba masanya untuk kami memberi tumpuan kepada tugasan, melaksanakannya manakala menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik adalah keutamaan kami.

"Mungkin kami tidak berada dalam keadaan terbaik tetapi kini adalah masanya untuk kami bersatu-padu.

"Bersatu-padu adalah jalan terbaik. Kami cuba untuk tidak berfikir terlalu banyak. Kami akan ke sana dan cuba untuk melakukan apa yang kami mahu.

"Kami cuba melupakan keadaan semasa dan memberikan persembahan terbaik. Persiapan kami amat mudah, ia tidak akan mengambil masa yang lama tetapi ia tentang amalan bersatu-padu dan menjadi semakin mantap."

Tambah Pochettino lagi: "Untuk menjadi yang terbaik, menang dan menduduki tangga teratas pada akhir musim ini adalah perkara paling mustahak buat kami. 

"Kami perlu menjadi pasukan yang sukar untuk disaingi kerana kami sedar saingan liga sentiasa sukar, jadi kami perlu bersedia. Itulah satu-satunya caranya. 

"Kami tidak boleh bercakap terlalu banyak. Kami cuma hanya perlu turun beraksi dan bersiap sedia untuk memberikan saingan terbaik sejak awal permainan. 

"Kami tidak boleh lagi menunggu seperti insiden dibolosi ketika menentang Ajax, kemudian barulah kami mahu memberikan saingan."
 

Advertisement

Must Watch Video