Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino sedia kembali ke EPL

mauricio-pochettino.jpg
Mauricio Pochettino berkata dia gembira untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bekas pengurus Tottenham Hotspur itu terus dikaitkan dengan Manchester United.

Pochettino membimbing Tottenham ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu tetapi dipecat dan digantikan oleh Jose Mourinho, November lalu.

Barcelona dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebelum juara LaLiga itu memilih untuk melantik Quique Setien.

Namun, spekulasinya dengan United masih belum tamat.

Pochettino dilaporkan bersedia untuk mengambil alih United ketika pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer, bergelut di Old Trafford dengan skuad The Red Devils itu berada di tangga kelapan dan ketinggalan enam mata daripada kelompok empat teratas.

"Sejujurnya, saya mungkin gembira untuk kembali bekerja dalam EPL," katanya dalam siaran audio In The Pink.

"Ia pasti sukar, saya tahu, dan ketika ini adalah waktu untuk menunggu dan kita akan lihat apa yang akan berlaku.

"Ia waktu untuk pemulihan, untuk berfikir sedikit mengenai diri anda dan bersedia kerana dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku dan anda perlu bersedia.

"Saya bersedia dan sedang menunggu cabaran baru.

"Saya percaya dan yakin bahawa cabaran baru nanti akan menjadi sesuatu yang hebat," katanya.

Pochettino menambah: "Saya berada di Argentina, saya berada di Qatar, saya berada di Sepanyol dan saya mempunyai Jesus (Perez, penolong Pochettino di Spurs) yang mengikuti berita itu tetapi saya menyedari khabar angin berkenaan.

"Kesemua barisan kejurulatihan saya sedar bahawa kami perlu berdepan dengan khabar angin, kami sudah biasa menghadapinya."

Jika tidak dapat kembali ke EPL, Pochettino akan mengejar peluang itu di luar England.

"Jika kami berpindah ke Eropah, kami akan merindui England," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found