Skip to main content

Bola Sepak

Pochettino dedikasi kemenangan Spurs kepada Levy

tottenham-hotspur-stadium.jpg
Mauricio Pochettino mendedikasikan kemenangan 2-0 Tottenham Hotspur ke atas Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi, kepada pengerusi kelab itu, Daniel Levy, selepas malam permbukaan yang luar biasa di stadium baru mereka.

Spurs perlu bersabar untuk beraksi di Stadium Tottenham Hotspur, yang memakan belanja sekitar £1 bilion (RM5.37 bilion), gara-gara kelewatan proses pembinaan.

Bagaimanapun, mereka menamatkan kemarau kemenangan lima perlawanan berturut-turut di gelanggang baru itu, awal pagi tadi.

Son Heung-min meletakkan mereka di depan pada minit ke-55 sebelum Christian Eriksen memutlakkan kemenangan pada 10 minit terakhir perlawanan.

Pochettino mengekalkan pendiriannya bahawa gelanggang baru Tottenham itu merupakan "stadium terbaik di dunia" dan percaya Levy layak diberikan pujian kerana menjayakan projek itu.

"Ia saat yang istimewa, malam yang istimewa," katanya kepada Sky Sports.

"Saya berasakan ia merupakan stadium terbaik di dunia.

"Kami sedar perlawanan ini akan berlangsung sukar dan mencabar.

"Saya tidak tahu bagaimana kami akan memberikan reaksi, namun mengekalkan permainan seperti dalam babak pertama pasti akan menghasilkan jaringan.

"Saya berterima kasih kepada Daniel Levy kerana menjayakan projek hebat ini dan mendedikasikan kemanangan ini buatnya.

"Perasaannya amat luar biasa sejak dari awal lagi, jadi kemenangan ini amat penting buat kami.

"Hari ini, kami melakar kejayaan. Sekarang kami perlu melakar kejayaan lebih besar dengan menjulang trofi.

"Ia merupakan permulaan kisah baru. Kami sudah menutup satu kisah dan membuka kisah baru untuk membawakan kejayaan buat penyokong," katanya.

Kemenangan itu melonjakkan Spurs ke tangga ketiga liga bagi memintas Arsenal walaupun seteru London itu berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Advertisement

Must Watch Video