Skip to main content

Bola Sepak

PKNS tolak rezeki -- Rajagobal

rajagobal.jpg
Jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, menyalahkan bahagian pertahanan pasukannya yang menjadi punca utama gagal mencetak tiga mata penuh ke atas Perak semalam.

Rajagobal bukan seorang jurulatih yang mudah menuding jari kepada anak buahnya, namun reaksi pengendali berpengalaman itu sebaik tamat perlawanan sudah cukup untuk menggambarkan rasa kecewa apabila anak buahnya gagal beraksi di tahap sebenar.

Tiga kali memimpin permainan dengan dua jaringan daripada pihak lawan hasil situasi bola mati dan satu daripada kealpaan pertahanan PKNS, mereka dianggap sengaja menolak rezeki.

"Kelekaan pertahanan PKNS memaksa kami menerima keputusan seri dalam perlawanan ini. Pemain-pemain gagal memberikan perhatian ketika Perak melancarkan serangan menerusi situasi bola mati," kata Rajagobal.

Bagi jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, kebangkitan anak buahnya setiap kali ketinggalan wajar diberikan pujian.

Namun, terpaksa sekali lagi menelan pahit, Perak sekali lagi gagal meraih tiga mata selepas kali terakhir melakukannya ke atas PJ City, 9 Mac lalu.

"Perak tidak berputus asa kerana mereka mengikat permainan sebanyak tiga kali dan tiada apa yang saya mahukan lagi daripada mereka.

"Kami memberikan peluang kepada pemain tempatan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa tonggak import untuk membuktikan kebolehan mereka," kata Durakovic.

Sementara itu, pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim, tidak mahu menganggap dirinya sebagai penyelamat The Bos Gaurus semalam.

Dia sebaliknya menegaskan ia adalah usaha sepasukan yang mahukan kemenangan, namun terpaksa akur dengan keputusan yang sekali lagi menyaksikan Perak sekadar seri.

"Kami perlu lebih berkesan ketika melakukan serangan. Peluang telah dihasilkan dengan banyak dan tuah akan menyebelahi kami dalam perlawanan akan datang," katanya.

Advertisement

Must Watch Video