Skip to main content

Bola Sepak

PKNS sekat hajat Melaka

pkns-fc.jpg
Hasrat Melaka mara ke pusingan ketiga Piala FA berakhir hampa apabila PKNS FC bijak memanfaatkan peluang di laman sendiri untuk meraih kemenangan 3-2 di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal, PKNS FC, memberikan amaran awal menerusi penguasaan bola yang menyulitkan Melaka untuk memburu jaringan awal.

PKNS FC memimpin perlawanan pada minit ke-43 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, K. Gurusamy.

Dalam babak kedua, PKNS FC menambah dua lagi jaringan hasil sentuhan pemain import, Chan Vathanaka dan Kpah Sherman.

Terlalu selesa dengan kelebihan tiga jaringan menyebabkan skuad The Red Ants itu dihukum apabila Melaka diberikan sepakan penalti pada minit ke-85 yang disudahkan Anselmo da Silva.

Melaka sempat menambah jaringan dalam waktu kecederaan menerusi kapten pasukan, Shukor Adan, namun ia sudah terlewat untuk menghalang PKNS FC ke pusingan ketiga.

"Saya gembira dengan tiga gol itu, namun kami sepatutnya terus menguasai perlawanan selepas tiga jaringan itu terhasil.

"Agak sukar untuk beraksi dalam keadaan seperti itu, namun saya amat kecewa apabila kami dibolosi sebanyak dua kali," kata Rajagobal.

Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, pula berkata: "Ketiga-tiga gol mereka terhasil daripada kesilapan kami.

"Bagaimanapun, kami bangkit dalam babak kedua.

"Kami mendominasi permainan tetapi tidak berbisa di bahagian depan."

Advertisement

Must Watch Video