Skip to main content

Bola Sepak

PKNP FC, Perak sama handal

pknp-perak_1.jpg
PKNP FC 0 PERAK 0

PKNP FC mampu menghela nafas lega apabila mengikat Perak 0-0 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.


Walaupun gagal memperoleh sebarang kelebihan daripada perlawanan itu, namun hakikatnya The Bos Gaurus berada di kedudukan lebih baik apabila kedua-dua pasukan itu turun membuat perhitungan dalam perlawanan suku akhir kedua di Ipoh, minggu depan.

PKNP FC sudah pasti mempunyai tugas berat dalam kunjungan ke Stadium Perak, 11 Mei ini.

Berbanding pertemuan empat hari lalu, tuan rumah berjaya meningkatkan permainan untuk menyekat Perak daripada melakukan sebarang kemusnahan.

Perubahan yang dilakukan ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, membolehkan PKNP FC mengimbangi persembahan pelawat untuk mengikat Perak 0-0 dalam babak pertama.

Begitupun, anak buah Mehmet Durakovic itu tetap dilihat memiliki kelebihan dengan Brendan Gan, Nor Hakim Hassan dan Shahrel Fikri Md Fauzi sentiasa menjadi ancaman tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol PKNP FC, Mohd Asyraf Omar.

Palang gol turut menjadi penyelamat tuan rumah apabila rembatan Gilmar Da Silva dan Shahrel Fikri singgah di palang biarpun Asyraf sudah tertewas.

Bagaimanapun, momentum perlawanan berpihak kepada anak buah Abu Bakar dalam babak kedua yang menyaksikan mereka memberikan cabaran kepada Perak.

Thomas Abbey dan Giancarlo Lopes mencemaskan Perak dengan merembat ke arah gol tetapi berjaya diselamatkan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy masing-masing pada minit ke-64 dan 80.

KEPUTUSAN SUKU AKHIR PERTAMA (SELASA):
PKNP FC 0 PERAK 0
KUALA LUMPUR 3 FELDA UNITED 3
PKNS FC 1 KEDAH 3

JADUAL PERLAWANAN SUKU AKHIR PERTAMA (RABU)
TERENGGANU FC LWN PAHANG

Advertisement

Must Watch Video