Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

PKNP FC buru permulaan baik

abu-bakar-fadzim.jpg
Aksi bertenaga ketika mengikat Perak 0-0 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Selasa lalu, dituntut daripada pemain PKNP FC apabila turun melayani Terengganu dalam aksi Liga Super di halaman sendiri, malam ini.

Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkata perwatakan mantap yang sama diperlukan bagi menghadapi Terengganu yang sedang berada di kemuncak prestasi.

"Terengganu akan tampil dengan kesebelasan utama mereka malam ini.

"Jadi, pemain PKNP perlu berwaspada dan bersedia.

"Lebih penting ialah mereka tidak boleh melakukan kesilapan yang akan memberikan ruang untuk lawan menghukum kami," katanya.

Abu Bakar membayangkan kesebelasan utama dengan formasi berkesan yang sama akan digunakan malam ini.

"Selepas tumpas dalam perlawanan pertama dengan Perak itu, saya melakukan rombakan dalam formasi pasukan dan ia ternyata berkesan.

"Jadi, saya akan teruskan corak sebegitu dan berharap momentum pasukan tidak berubah," katanya.

Abu Bakar berkata perlawanan malam ini adalah perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super dan berharap PKNP FC akan memaparkan permulaan baik.

"Apa yang penting bagi kami adalah tidak kalah dalam perlawanan ini, terutama kerana kami bermain di gelanggang sendiri," ujarnya.

Namun, jurulatih itu sedar laluan sukar akan dihadapi anak buahnya kerana skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu bukan calang-calang pasukan.

Advertisement

Must Watch Video