Skip to main content

Bola Sepak

Pjanic serah tugas sepakan percuma kepada Ronaldo

miralem-pjanic-dan-c_19cbbff.jpg
Pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic, mendedahkan bahawa Cristiano Ronaldo akan menjadi pemegang tugas utama untuk menyempurkan sepakan percuma sambil bekas pemain sayap The Old Lady, Mauro Camoranesi, yakin pemenang lima kali Ballon d'Or itu akan mula menjaringkan gol tidak lama lagi.

Pjanic, yang baru menandatangani kontrak yang akan menyaksikannya kekal bersama Juve lima tahun lagi, menjelaskan dia dan Paulo Dybala gembira untuk memberi laluan buat bekas bintang Real Madrid itu mengambil tugas sepakan percuma.

Tonggak Bosnia-Herzegovina itu juga menyatakan bahawa kehadiran Ronaldo telah memberikan suntikan moral dalam pasukan.

"Kini, Ronaldo berada di sini. Dia telah membuktikan sebelum ini bahawa dia pemain terbaik dunia dan kami akan meraih kebaikan daripada kehadirannya di sini," kata Pjanic.

"Sebelum ini, apabila berlatih melakukan sepakan percuma, ia melibatkan saya atau Dybala tapi kini, ia 100 peratus milik Ronaldo.

"Ternyata Ronaldo adalah seorang pengambil sepakan percuma yang sempurna."

Sementara itu, Camoranesi yakin Ronaldo akan mencatat banyak gol buat Juve musim ini, namun penggempur itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam Serie A.

Juventus memenangi dua aksi awal liga pada musim ini tetapi Ronaldo gagal meletakkan nama dalam senarai penjaring ketika berdepan Chievo dan Lazio.

Skuad Bianconeri itu akan bertandang ke Parma, Sabtu ini, dan penyokong Juve pastinya mahu bintang Portugal itu membuka akaun jaringan bersama pasukan.

"Kita sedang bercakap tentang seorang pemain yang telah mencatat lebih 500 gol," ujar Camoranesi.

"Hanya kerana dia tidak menyumbat gol dalam dua aksi, ia tidak membawa apa-apa makna. Ronaldo akan menjaringkan banyak gol sebelum akhir musim. Dia memiliki segalanya, termasuk kekuatan, kelajuan dan teknik.

"Banyak pasukan di Itali yang bertahan dengan jumlah pemain yang ramai dalam kawasan sendiri. Ia mengehadkan ruang buat Ronaldo, jadi persefahaman dengan rakan sepasukan akan diperlukan, bersama dengan kekuatannya yang luar biasa."
 

Advertisement

Must Watch Video