Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

PJ City atur strategi jinakkan Harimau Selatan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jdt-pj-city.jpg
PJ City FC mengintai peluang untuk sekali lagi menjinakkan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Rabu ini.

Sebelum ini, skuad bimbingan K. Devan itu telah dua kali menundukkan pasukan Harimau Selatan itu di laman mereka sendiri dalam aksi Liga Super.

Pengendali itu berkata skuad bimbingannya itu akan mengatur strategi mengikut kekuatan JDT apabila dua pasukan itu bertembung dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia 2019 di venue keramat itu.

“Daripada segi corak permainan, kami  masih akan sama tetapi dalam bola sepak, setiap perlawanan itu berbeza. Sebab kami dah buat dua kejutan (mengalahkan JDT) tetapi kali ketiga saya rasa bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.

"Daripada segi formasi memang sama tetapi mungkin kami perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT.

" Jadi, mungkin daripada segi idea utama tidak banyak berubah. Kami ada strategi tertentu dalam kawasan padang dan juga mengikut pemain yang mereka miliki di bahagian kekuatan dan kelemahan mereka," katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan anak buahnya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Untuk rekod, PJ City FC berjaya meleburkan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan Liga Super musim ini selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Liga Super 2019 itu di Larkin pada 16 Julai lalu.

Tahun lalu, ketika dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), sebelum dijenamakan sebagai PJ City FC, pasukan tersebut telah menewaskan JDT 2-1 juga di Larkin dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Devan menjangkakan pasukannya harus bersedia dalam segala aspek bagi memberi tentangan kepada anak buah Luciano Figueroa itu dalam perlawanan mereka selepas ini.

"Mereka (JDT) akan bersiap sedia dalam segala aspek untuk bertemu dengan kami dan mereka juga tidak mahu kalah kali ketiga di tempat sendiri. Saya rasa itu perlawanan yang mungkin kami kena main bermati-matian di sana sekiranya nak bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

"Bagaimanapun, kami akan terus bermain seperti ketika berdepan PKNP dan saya meminta PJ City supaya tidak gementar bertemu dengan JDT dan kami cuba bermain dengan corak permainan saya. Itu sahaja permintaan dan ingatan kepada pemain PJ City," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, akur dengan kekalahan pasukannya kepada PJ City tetapi berfikiran positif kerana mampu mendedahkan pemain-pemain pelapisnya dalam saingan Piala Malaysia.

"Kekuatan PJ City dilihat mereka dapat menurunkan kesebelasan terbaik daripada segi pemain-pemain import. Untuk pasukan saya, kami tidak dapat menurunkan Giancarlo Rodrigues, maka kami beri peluang kepada banyak pemain pelapis daripada pasukan Piala Presiden untuk mendapatkan pengalaman," ujarnya.

Sementara itu, berhubung status PKNP FC yang dikhabarkan bakal menjadi kelab ‘feeder’ ekoran peletakan jawatan bekas Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, bulan lalu, dia berkata perkara tersebut tidak dibincangkan lagi walaupun dikaitkan dengan banyak khabar angin.

Abu Bakar menegaskan bahawa buat masa ini, pasukannya hanya mahu memberikan fokus utama dalam saingan Piala Malaysia.

-- BERNAMA

Kredit foto: Johor Southern Tigers

Advertisement

Must Watch Video