Skip to main content

Bola Sepak

Piala Sumbangsih: Amaran awal JDT

jdt.jpg
JDT 3 KL CITY 0 

Juara lapan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), melontarkan amaran awal kepada seteru mereka bahawa mereka lebih berselera besar dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dengan membenam Kuala Lumpur (KL) City 3-0 dalam Piala Sumbangsih. 


Pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi itu menyaksikan anak buah Benjamin Mora tersebut mendominasi sepenuhnya permainan sejak tiupan wisel pertama. 

Selepas kelihatan mundar mandir sepanjang 25 minit usia perlawanan, debaran jurulatih JDT itu dalam misi menebus kehampaan Piala Malaysia musim lalu akhirnya terlerai menerusi tandukan mengelirukan Nazmi Faiz Mansor. 

Pada minit ke-31, giliran sandaran import baru JDT, Fernando Forestieri, merobek gawang pelawat dengan melepaskan satu rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol KL City dari Filipina, Kevin Mendoza. 

Skuad kendalian Bojan Hodak itu cuba mengurangkan defisit gol tetapi mendapati sukar menggugat kubu juara bertahan berkenaan dan peluang paling hampir mereka ialah tandukan Paulo Josue.

Pemain gantian, Afiq Fazail, kemudian menambah derita lawan dengan gol ketiga pada minit ke-83 untuk memastikan JDT terus mendominasi Piala Sumbangsih buat rentetan kelima. 

"Kami sudah bersedia untuk ini, inilah realiti untuk JDT. 

"JDT sentiasa cuba bersaing, bermain bola sepak, melakukan perbezaan. 

"Kami mengatur bola, menguasai posisi, pihak lawan banyak bertahan seperti yang dijangkakan, seperti yang dirancangkan.

"Ia hanya mengenai jaringan pembukaan, dari situ kami mempamerkan rentak sendiri. Pemain beryakinan, ia satu permainan dan perlawanan yang sangat baik daripada pemain," kata Mora.  


 

Advertisement

Must Watch Video