Skip to main content

Bola Sepak

Piala Negara-Negara Afrika: Seedorf tuntut peningkatan daripada juara bertahan

seedorf.jpg
Pengendali, Clarence Seedorf, menuntut aksi lebih hebat daripada Cameroon tatkala penyandang juara Piala Negara-Negara Afrika itu turun bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Benin awal pagi esok.

Cameroon mengatasi Guinea-Bissau 2-0 dalam aksi pembukaan sebelum diikat 0-0 oleh satu lagi pencabar utama Kumpulan F, Ghana.

Skuad kendalian Seedorf itu masih belum mengesahkan slot ke pusingan kalah mati dan keputusan awal pagi esok bakal menentukan kemaraan mereka.

"Ia bukan yang terbaik buat peminat dan kami mahu melakukan lebih baik," katanya selepas aksi menentang Ghana.

"Namun, saya melihat dua pasukan yang tersusun mencipta peluang untuk menang. Kami tidak memulakan aksi untuk seri kerana kami mahu menang tetapi saya berpuas hati dengan satu mata."

Dua keputusan seri sebelum ini menyaksikan Benin masih berpeluang untuk melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah walaupun perlawanan yang berakhir tanpa jaringan berdepan Guinea-Bissau bukan sesuatu yang mereka perlukan.

Bagi menyalakan peluang untuk mara, mereka perlu mencipta kemenangan sulung dalam kejohanan dengan harus menundukkan gergasi Afrika, The Indomitable Lions.

"Kami beraksi dalam perlawanan besar berdepan Guinea-Bissau," ujar pengurus The Squirrels, Michel Dussuyer.

"Kami tidak menamatkan aksi seperti dimahukan dan kami mahu menang perlawanan seterusnya."

Advertisement

Must Watch Video