Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala Negara-Negara Afrika: Mahrez bangga ketuai Algeria

mahrez.jpg
Riyad Mahrez gembira kerana dipilih mengetuai skuad Algeria tetapi menegaskan aksi cemerlang sepasukan amat penting jika skuad kendalian Djamel Belmadi mahu membuktikan sesuatu dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Algeria -- pemenang AFCON 1990 -- akan memulakan saingan berdepan Kenya awal pagi esok dan bakal turut berdepan Senegal dan Tanzania dalam Kumpulan C.

Mahrez merupakan kapten pasukan, yang turut dibarisi bintang Porto, Yacine Brahimi, dan penyerang Fenerbahce, Islam Slimani.

Mahrez berbangga kerana memikul tanggungjawab mengetuai skuad Algeria dalam kejohanan ini, dengan pemain berusia 28 tahun itu -- yang diangkat sebagai Pemain Terbaik Afrika 2016 -- percaya semangat sepasukan dan bukan kualiti individu merupakan kunci kejayaan.

"Ia merupakan satu tanggungjawab yang membanggakan," kata Mahrez. "Anda perlu menjadi pemimpin di dalam dan di luar gelanggang.

"Tetapi kami tidak akan bimbang mengenai pemain terbaik atau siapa yang pernah memenangi Anugerah Pemain Terbaik Afrika.

"Saya sebahagian daripada pasukan dan perkara terpenting adalah kejayaan pasukan," ujarnya.

Ini merupakan pertembungan pertama di antara Algeria dan Kenya dalam AFCON dan Mahrez mengakui lawan mereka memiliki kebolehan yang masih belum dikenal pasti.

"Kami tidak tahu banyak tentang Kenya. Kami tidak pernah berdepan mereka sebelum ini.

"Tetapi kami telah menyaksikan perlawanan mereka dan berdepan pasukan yang memiliki kualiti yang hampir sama dalam aksi persahabatan. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan."

Victor Wanyama merupakan pemain utama Kenya dan bintang Tottenham itu percaya Algeria harus dilihat sebagai salah satu pasukan pilihan muncul juara.

"Terdapat banyak pasukan yang kuat dalam kejohanan ini. Tetapi saya berpandangan Senegal, Algeria, Maghribi dan Mesir adalah pasukan pilihan," kata Wanyama.

"Bolasepak di Afrika berkembang dengan bintang-bintang yang bertaraf dunia. Setiap penjaring terbanyak saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan pemain dari benua ini.

"Kenya hadir ke dalam kejohanan ini buat kali pertama setelah sekian lama. Kami akan berusaha untuk berdepan pasukan yang memiliki bintang seperti Sadio Mane, Riyad Mahrez dan ramai lagi. Tetapi kami yakin dengan kebolehan pasukan ini."

Advertisement

Must Watch Video