Skip to main content

Bola Sepak

Piala Negara-Negara Afrika: Jaringan Lorch singkir Mesir

mohamed-salah.jpg
MESIR 0 AFRIKA SELATAN 1

Afrika Selatan mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika selepas mengejutkan tuan rumah, Mesir, 1-0 di Kaherah, awal pagi tadi.


Thembinkosi Lorch menjaringkan gol pada penghujung perlawanan untuk mengejutkan skuad kendalian Javier Aguirre itu bagi meneruskan pemburuan kejuaraan kedua Afrika Selatan dalam kejohanan peringkat benua berkenaan.

Skuad kendalian Stuart Baxter itu turun ke padang selepas dikritik hebat dalam saingan peringkat kumpulan di mana mereka mara ke pusingan kedua walaupun tewas kepada Ivory Coast dan Maghribi.

Bagaimanapun, mereka memberikan respons terbaik menerusi aksi berdisiplin dan tersusun untuk mendiamkan Mohamed Salah sebelum mengesahkan kelayakan melalui jaringan lewat Lorch.

Mereka akan berdepan Nigeria dalam suku akhir selepas skuad Super Eagles itu menewaskan Cameroon 3-2 dalam satu lagi perlawanan.

Sepakan percuma tajam Percy Tau ditepis keluar penjaga gol Mesir, Mohamed El-Shenawy, untuk menghidupkan suasana menarik dalam babak pertama.

Peluang terbaik tiba dalam babak itu apabila Trezeguet, yang mendapat bola daripada larian pantas Mohamed Salah, melakukan sepakan lemah ke arah penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams.

Aksi awal babak kedua menyaksikan Trezeguet sekali lagi memperoleh bola dalam kawasan penalti daripada hantaran menarik Salah, namun dia sekali lagi melakukan sepakan akhir yang mengecewakan.

Mesir mula menguasai permainan selepas itu, namun tetap berdepan masalah untuk mencipta peluang sebelum tandukan kapten Afrika Selatan, Thulani Hlatshwayo, hanya sedikit tersasar.

Ketika Mesir terus berhati-hati dengan cuaca berangin di Kaherah, mereka dihukum pada lima minit terakhir perlawanan.

Melalui satu gerakan kemas, Lebo Mothiba mencari ruang sebelum menghantar bola kepada Lorch yang berada dalam kawasan penalti untuk pemain itu melepaskan rembatan yang melepasi El-Shenawy untuk membawa pasukannya ke suku akhir.

Advertisement

Must Watch Video