Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: JDT bawa bekalan tiga gol dari Paroi

jdt-negeri-sembilan.jpg
Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT), membawa bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia selepas membelasah Negeri Sembilan FC 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Tampil dengan reputasi pasukan pilihan untuk mara kelompok empat terbaik, bintang muda Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi, terlebih dulu meletakkan pasukan pelawat di depan hasil jaringan minit ke-20 yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Tersentak dengan jaringan itu, angkatan K. Devan berusaha menyaingi kembali anak buah Estaban Solari itu bagi mencari gol penyamaan.

Namun, mesin gol Harimau Selatan, Bergson Da Silva, tampil melebarkan jaringan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31.

Sepakan penalti tercetus selepas tonggak skuad Rusa, Nasrullah Hanif Johan, mengasari Bergson sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan keputusan 2-0 memihak Harimau Selatan.

Dalam separuh masa kedua, Devan melakukan beberapa perubahan taktikal menyaksikan tuan rumah kemudian menyaingi pasukan pelawat.

Bagaimanapun, Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan tuan rumah itu apabila meledakkan gol kedua peribadinya pada minit ke-91 untuk keputusan 3-0 berpihak Harimau Selatan di Paroi.

Kedua-dua pasukan akan berentap dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 23 September ini.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video