PIALA MALAYSIA
Piala Malaysia: Hodak tagih magis kebangkitan KL City
Kuala Lumpur (KL) City memerlukan sedikit masa untuk bangkit menjelang saingan Piala Malaysia minggu ini ekoran kekecewaan tewas dalam final Piala AFC kepada kelab Oman, Al Seeb, Sabtu lalu.
Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak, mengakui skuadnya memerlukan magis dan suntikan semangat untuk berdepan PDRM FC dalam saingan pertama Piala Malaysia pada Khamis ini.
"Bagi perlawanan bertemu PDRM selepas ini, saya perlu mencari 'magis' untuk menaikkan semula motivasi pemain," katanya.
Iklan
Hodak memberitahu, kekecewaan masih menyelubungi anak buahnya selepas tewas 0-3 kepada Al Seeb dalam aksi final itu, yang boleh mengganggu emosi setiap pemain.
Katanya, bukan mudah untuk memulihkan semangat pemainnya yang ternyata kecewa di atas kekalahan berkenaan.
Malah, status sebagai juara bertahan Piala Malaysia juga memberikan tekanan, namun Hodak akan berusaha yang terbaik sambil mengharapkan keajaiban untuk meraih keputusan positif bertemu PDRM.
KL City merupakan juara bertahan selepas memenangi Piala Malaysia musim lalu.
Dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil edisi 2021 itu, The City Boys mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0, sekali gus menamatkan badi 32 tahun untuk menjulang trofi dalam final edisi ke-100 tahun itu.
Dalam pada itu, Hodak turut mengharapkan penyokong KL City datang beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pemainnya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video