KL CITY 1 SRI PAHANG 0
Sepakan penalti memastikan Kuala Lumpur City membawa bekalan tipis 1-0 untuk dibawa ke Stadium Darulmakmur Ahad depan.
Skuad Warga Kota menggunakan kesempatan beraksi di Stadium KLFA sebentar tadi itu untuk menyekat Sri Pahang FC daripada merakamkan sebarang gol dalam pertembungan pertama suku akhir Piala Malaysia.
Tuan rumah hampir memecah kebuntuan awal dengan Romel Morales merobek jaring lawan tetapi dibatalkan.
Tetapi ia tidak menghalang mereka daripada mengatur beberapa ancaman menarik terutama situasi bola pegun termasuk percubaan Tchetche Kipre di dalam kotak penalti yang menuju tepat untuk ditampan Izham Tarmizi Roslan.
Barisan kendalian Fandi Ahmad pula bertindak balas dengan satu peluang menarik daripada sepakan percuma yang gagal ditanduk kemas oleh pemain import, Stefano Brundo.
Skrip babak seterusnya tidak banyak berubah dan kelekaan di bahagian pertahanan Sri Pahang yang terdedah mendorong Syazwan Andik Ishak panik lalu membentes Paulo Josue.
Dan kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh Romel Morales yang melaksanakan tugas sepakan tersebut pada minit ke-76.
Tetapi kurang lima minit selepas itu, KL City tempang tanpa seorang pemain berikutan kad kuning kedua yang dikutip Kenny Pallraj.
Bagaimanapun, peluang terbabit gagal diterjemahkan oleh pelawat untuk mengekalkan kedudukan hingga wisel penamat.
Shaiful Shamsudin
Sun Sep 17 2023
