Selangor mengikut jejak langkah Terengganu melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dalam aksi suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Selangor ketinggalan terlebih dahulu apabila tuan rumah membuka jaringan menerusi Mohamad Safuwan Baharuddin yang menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid, seawal minit pertama perlawanan.
Ketinggalan tidak memaksa Selangor menekan butang panik apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ketiga hasil gol daripada Mukhairi Ajmal Mahadi.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe mempamerkan permainan yang lebih selesa dan mendominasi aksi dengan melakukan beberapa peluang untuk menggandakan jaringan.
Selangor berjaya menggunakan peluang di sebalik kesilapan pertahanan tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua menerusi Yuhandry Orozco Cujia pada minit ke-60.
Orozco Cujia menggandakan jaringannya dalam perlawanan sekaligus membawa Gergasi Merah ke separuh akhir buat skuad Gergasi Merah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-87.
Ammar Hakim
Sat May 27 2023